GERIK: Seorang pemandu lori didenda RM5,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah memindahkan 13 ekor lembu tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Perak, Februari lalu.
Mohd. Jizol Kassim, 36, juga berdepan hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Hukuman itu dijatuhkan selepas Mohd. Jizol selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Muhammad Firdaus Nor Azlan.
Mengikut pertuduhan, Mohd. Jizol didakwa telah memindahkan 13 ekor lembu hidup dengan menggunakan sebuah lori tanpa kebenaran bertulis yang sah daripada Pengarah DVS Perak atau mana-mana pegawai yang diberi kuasa olehnya.
Lelaki terbabit didakwa melakukan perbuatan tersebut di lebuh Raya Timur-Barat berhampiran Kuala Rui, Gerik dalam daerah Hulu Perak pada pukul 12.30 tengah malam, 19 Februari 2025.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan di bawah Perenggan 3(a) Perintah Menteri Besar bagi Perintah Kawasan Kawalan Penyakit Kuku dan Mulut bagi negeri Perak 2008 yang dibaca bersama Subseksyen 36(1) Akta Binatang 1953 (Akta 647) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 36(7) Akta Binatang (pindaan) 2013 (Akta A1452) yang membawa hukuman denda maksimum RM15,000.
Terdahulu, peguam Muhammad Zaem Ab Aziz yang mewakili OKS memohon hukuman denda rendah dikenakan ke atas anak guamnya kerana pemeriksaan mendapati kesemua lembu yang dirampas itu tidak menghadapi sebarang penyakit berjangkit.
Beliau juga memohon agar lori yang digunakan dalam kes itu dikembalikan kepada pemilik asal manakala wang hasil jualan lembu berjumlah RM26,000 pula diserahkan semua atau separuh kepada lelaki itu.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Jabatan Veterinar Perak, Roziman Awang Tahrin berkata, hukuman sewajarnya perlu dikenakan terhadap OKS kerana kesalahannya bukan perkara remeh sebaliknya penting bagi mengawal penularan penyakit dan keselamatan industri ternakan serta ekonomi negara.
Katanya, OKS juga disifatkan cuai apabila gagal memohon permit bagi memindahkan haiwan ternakan.
“OKS juga pernah dituduh di mahkamah pada tahun 2021 bagi kesalahan sama. Mohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada OKS,” katanya.
Muhammad Firdaus kemudiannya menetapkan hukuman denda RM5,500 kepada tertuduh selain memerintahkan separuh daripada hasil jualan lembu diserahkan kembali kepada lelaki itu manakala selebihnya dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.
Mahkamah turut memerintahkan supaya lori tersebut diserahkan kepada pemilik asal dan barang kes serta eksibit pula dikembalikan kepada pihak pendakwaan.
OKS membayar denda berkenaan. – UTUSAN