Pelarasan tarif air bantu Perlis tingkatkan perkhidmatan bekalan - Utusan Malaysia

Pelarasan tarif air bantu Perlis tingkatkan perkhidmatan bekalan

IZIZAM IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pelarasan tarif air dapat membantu Syarikat Air Perlis (SAP) menangani pelbagai cabaran melibatkan perkhidmatan bekalan, sekali gus memberi lebih keselesaan kepada pengguna.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur negeri, Izizam Ibrahim berkata, SAP bersama operator di sembilan negeri telah mengemukakan cadangan menyemak semula kadar tarif air sedia ada kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) selaras dengan Akta Industri Perkhidmatan Air 2026.

Katanya, pelarasan itu adalah berdasarkan mekanisme penetapan tarif (TSM) yang dikawal selia sepenuhnya oleh SPAN dalam memastikan kadar tarif air dan kemampanan industri tidak membebankan rakyat.

Beliau berkata, ia mengambil kira kos operasi dan kenaikan kos elektrik serta implikasi caj pelepasan kos tidak berimbang (ICPT) yang dikenakan kepada industri air.

“Dengan pelaksanaan pelarasan ini, SAP akan lebih berkemampuan dalam menangani pelbagai cabaran semasa perkhidmatan bekalan air negeri termasuklah meningkatan aktiviti  penyelenggaraan aset uzur dan pembaikan infrastruktur paip,” katanya.

Rabu lalu, SPAN memaklumkan menerima permohonan operator perkhidmatan bagi menyemak semula kadar tarif perkhidmatan bekalan air di 10 negeri iaitu Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Pahang. 

Izizam berkata, melalui pelarasan tersebut, SAP perlu mematuhi sepenuhnya garis panduan dan ketetapan SPAN agar pelaksanaan dibuat secara bertanggungjawab dan tidak membebankan.

Katanya, kerajaan negeri juga berharap kenaikan itu tidak menjejaskan syarikat dan kilang yang sedang berkembang pesat di Perlis berikutan kesan pelarasan akan lebih ketara kepada sektor komersial. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN