PETALING JAYA: Isu pelantikan hakim yang telah ditetapkan di bawah Perlembagaan Persekutuan hendaklah ditangani cermat dan tidak dipolitikkan.
Istana Negara dalam kenyataan, pelantikan hakim-hakim mahkamah atasan adalah urusan kenegaraan yang penting serta perlu ditangani secara cermat dan integriti selaras dengan undang-undang tertinggi negara itu.
Katanya, mengikut Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, pelantikan hakim dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja.
“Perkara ini secara jelasnya menzahirkan prinsip semak dan imbang dalam sistem kehakiman negara.
“Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 [Akta 695] merupakan undang-undang yang memperuntukkan proses pemilihan calon hakim, namun kuasa untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong adalah terletak kepada Perdana Menteri.
“Hal pelantikan di bawah Perlembagaan Persekutuan hendaklah ditangani secara sah supaya perjalanan kuasa oleh Yang di-Pertuan Agong tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak,” katanya.-UTUSAN