HHFS, Hab Hidrogen Hijau perkukuh pelan peralihan tenaga 

HHFS, Hab Hidrogen Hijau perkukuh pelan peralihan tenaga 

ANWAR Ibrahim (tiga dari kiri) meletakkan papan solar sebagai gimik perasmian pembangunan Solar Terapung Hidro Hibrid dan Hab Hidrogen Hijau di Stesen Janakuasa Sultan Mahmud, Tasik Kenyir, Kuala Berang, Hulu Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Pelaksanaan projek Loji Solar Terapung Hibrid Hidro (HHFS) dan Hab Hidrogen Hijau di Kenyir, di sini menjadi pemangkin kepada agenda peralihan tenaga negara serta melonjakkan kedudukan Terengganu sebagai hab tenaga bersih serantau.

Memuatkan artikel berkaitan…

Inisiatif itu adalah kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB), Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) dan Kumpulan Terengganu Inc. bagi  memperkukuh pelan peralihan tenaga negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan projek sekali gus berpotensi menarik lebih ramai pelabur ke negara ini.

“Pelaksanaan projek pembangunan  HHFS dan Hab Hidrogen Hijau di Kenyir  juga dapat membuka ruang kepada anak-anak tempatan terutama dari Kuala Berang untuk menerima Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) oleh Petronas dan TNB.

“Eloklah dirancang supaya ada tempat di mana anak-anak dari Kuala Berang dan Terengganu juga diberi latihan khusus satu kuota supaya ada manfaat dan faedah. Jadi, saya harap ini dapat disegerakan.

“Satu projek skala besar yang kita laksanakan, saya tidak mahu umpamanya ada rakan-rakan  menganggap ini satu acara propaganda. Tidak,” katanya ketika berucap melancarkan  HHFS dan Hab Hidrogen Hijau di Terengganu di Stesen Janakuasa Sultan Mahmud di Kenyir, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir; Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid dan Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd Bakke Salleh.

Hab Hidrogen Hijau adalah kerjasama strategik antara Petronas dan  TNB yang menyaksikan kedua-dua pihak  membangunkan pengeluaran hidrogen serta produk derivatifnya, manakala TNB turut memperkukuh infrastruktur grid bagi menyokong peralihan tenaga negara dan aspirasi tenaga bersih serantau.

HHFS pula merupakan kerjasama antara anak syarikat penjanaan kuasa TNB, TNB Genco Sdn.  Bhd. dan Terengganu Inc, selaras dengan aspirasi syarikat pelaburan negeri untuk merangsang pertumbuhan sosioekonomi di Terengganu. 

Projek perintis HHFS di Empangan Tasik Kenyir mempunyai kapasiti 100 kilowatt (kW) membabitkan keluasan 1,085 meter persegi dengan 220 panel solar.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan dalam kenyataan berkata, kerjasama pihaknya dalam Hab Hidrogen Hijau Terengganu merupakan tonggak utama  komitmen dalam memacu inovasi tenaga bersih. 

Menurutnya, projek tersebut amat penting kepada aspirasi hidrogen hijau Malaysia dan mencerminkan dedikasi pihaknya dalam menjayakan matlamat serta menyokong  Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) serta Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR).

“Projek HHFS Kenyir yang merupakan sebahagian daripada inisiatif solar-hidro hibrid 2.5 GW, menunjukkan bagaimana TNB memanfaatkan aset sedia ada untuk memaksimumkan penjanaan tenaga boleh diperbaharui. 

“Loji hidro tersebut berfungsi sebagai sistem simpanan tenaga yang fleksibel, menyimpan air semasa waktu puncak dan melepaskannya semasa luar waktu puncak, bagi menstabilkan grid dan bertindak balas dengan pantas terhadap turun naik permintaan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN