Pelakon berstatus suami orang ekori sampai depan bilik - Hanna Halim - Utusan Malaysia

Pelakon berstatus suami orang ekori sampai depan bilik – Hanna Halim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBELUM ini pernah dilaporkan mengenai pengalaman pelakon baharu yang mengalami gangguan seksual di set penggambaran. 

Pelakon yang sedang menapak, Hanna Halim tidak terkecuali. Namun godaan yang dihadapi Hanna ini membabitkan pelakon senior popular. 

Bukan seorang, malah beberapa juga yang pernah cuba ‘mengayat’ pelakon filem Citra Apartment ini. 

Apa pendekatan pelakon cantik berdarah campur Cina dan Melayu ini menepis godaan? Hanna, jawablah!

ADA pelakon pernah dedahkan gangguan di set penggambaran. Hanna lalui pengalaman serupa? 

Sejujurnya, berlaku juga kepada saya. Pelaku ialah pelakon popular berstatus suami orang. Siapa? Tak perlu saya sebutkan. Memang merisaukan, apatah lagi sampai berani cuba masuk bilik saya ketika kami bersama-sama menjalani penggambaran. Ada juga yang melayan saya dengan baik, tetapi sebaliknya mengharapkan sesuatu sebagai balasan. Saya tidak nafikan gangguan begini memang selalu berlaku. Apatah lagi kalau anda pelakon wanita yang baru mencari tapak. 

Adakah gangguan-gangguan sebegini masih merisaukan Hanna? 

Ketika pertama kali berdepan situasi ini, memang saya takut. Tambahan pula saya baru sahaja masuk bidang ini. Lebih merisaukan lagi jika perkara sebegini berlaku ketika berjauhan dengan keluarga. 

Adakah gangguan diterima itu keterlaluan. Apa tindakan Hanna? 

Setakat ini, Alhamdulillah saya belum pernah berdepan gangguan melampau. Dan tentunya saya tidak teragak-agak untuk mengadukan perkara ini kepada penerbit atau pengarah sekiranya ada dalam kalangan mereka ini yang melampau batas. Paling tidak pun saya akan bagi amaran agar pelaku ini tidak meneruskan niat jahatnya. Saya tidak akan sesekali membuka ruang atau peluang untuk mereka mengambil kesempatan. 

Apa reaksi pelakon popular itu bila Hanna menolak ‘umpan’ mereka? 

Apabila saya tidak layan godaan, pelakon itu ‘buat perangai’ sampai menyusahkan saya di set penggambaran. Ada juga beberapa kali dia enggan beri kerjasama dan mengelak untuk melakukan latihan dengan saya. Keadaan itu sedikit sebanyak menjejaskan imej dan prestasi lakonan saya.

Apa pandangan Hanna apabila ada yang berpersepsi yang kononnya pelakon baru yang cantik selalunya mudah termakan godaan sebegini? 

Tidak dinafikan, perkara itu berlaku. Memang ada pihak yang label pelakon baru ini murahan. Saya tidak setuju dan tidak suka dengan persepsi macam itu. Tidak adil kalau semua pelakon perempuan baru dilabel begitu. Saya akan lindungi kawan-kawan industri sama. Dan kami juga saling tegur dan menasihati satu sama lain. 

Nasihat Hanna kepada pelakon wanita yang masuk ke bidang ini? 

Jaga diri, jangan mudah terpedaya dengan ayat-ayat manis sesiapa pun. Pandai-pandailah bawa diri. Kalau berdepan godaan atau gangguan (seksual) di set penggambaran, jangan diamkan. Adukan kepada keluarga atau pengurus anda. Jangan disebabkan mahu popular, anda merelakan diri menjadi mangsa. Tindakan ini akan bagi kesan jangka panjang. Jadi, jagalah maruah dan jangan mudah gadaikan kehormatan anda.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN