PUTRAJAYA: Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) mendedahkan tiga pelajar bukan Islam turut mendapat manfaat biasiswa pendidikan menerusi agihan dana wakaf tunai.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Ridzwan Bakar berkata, pelajar berkenaan yang kini menyambung pelajaran di peringkat diploma menerima bantuan itu menerusi myWaqafPTPTN.
Beliau berkata, bantuan diberikan kepada pelajar itu sama seperti agihan biasiswa di mana segala kos pengajian ditanggung dana wakaf berkenaan.
“Inilah kebaikan dan kesyumulan Islam serta kebaikan yang dibawa oleh Rasulullah SAW untuk dinikmati oleh semua orang.
“Ramai orang ingat wakaf tunai ini untuk orang Islam sahaja sebaliknya ia boleh dimanfaatkan orang bukan Islam juga,” katanya ketika ditemui pada majlis simbolik penyerahan cek cura agihan Dana Wakaf Tunai Malaysia 2024, di sini hari ini.
Selain itu, katanya, tahun lalu pihaknya turut menerima peruntukan wakaf tunai sebanyak RM1 juta disumbangkan oleh seorang individu bukan Islam.
“Kita terima wakaf tunai itu, sebab dari sudut hukum syaratnya, dia tak ada masalah,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Ridzwan berkata, pihaknya memerlukan sekurang-kurangnya RM1 juta setahun bagi menampung wakaf pendidikan.
“Ketika ini, seramai 138 pelajar terpilih di seluruh negara telah menerima manfaat wakaf pendidikan,” katanya.
Katanya, buat masa ini, wakaf pendidikan dikhususkan untuk pengajian peringkat diploma dan jika ada peruntukan lebih besar, ia boleh diperluaskan ke peringkat ijazah sarjana dan Ijazah doktor falsafah,” katanya.
Terdahulu, sebanyak RM889,493.65 dana wakaf tunai yang diterima bagi tahun 2024 telah diagihkan kepada lapan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) hari ini.
Majlis simbolik penyerahan cek cura agihan dana wakaf tunai itu disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. – UTUSAN