SUNGAI PETANI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menahan seorang pegawai polis percubaan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah RM2,000 daripada seorang tahanan, baru-baru ini.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia 30-an yang bertugas di salah sebuah balai di negeri ini ditahan SPRM kira-kira pukul 11 pagi semalam di tempat kerja.
“Suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar Jun lalu dan siasatan awal mendapati suspek telah meminta rasuah kira-kira RM2,000 daripada seorang tahanan.
“Dia meminta wang itu daripada tahanan terbabit bagi membolehkannya dilepaskan daripada jaminan polis sedangkan tiada bayaran yang perlu dijelaskan,” katanya.
Suspek kini direman selama tiga hari sehingga 12 Julai ini setelah Majistret Noor Fazlina Musa membenarkan permohonan yang dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Sungai Petani, pagi tadi.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 – UTUSAN