PDRM, SPRM perlu segera bawa pulang Jho Low – Puad - Utusan Malaysia

PDRM, SPRM perlu segera bawa pulang Jho Low – Puad

MOHD. PUAD ZARKASHI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa bertindak segera membawa pulang ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low ke tanah air sekiranya benar beliau kini berada di Shanghai, China.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, pendedahan terbaharu oleh dua wartawan Barat, Tom Wright dan Bradley Hope seharusnya menjadi petunjuk penting untuk pihak berkuasa bertindak pantas tanpa lagi memberi pelbagai alasan.

“Jika benar laporan itu, maka menjadi tanggungjawab besar PDRM dan SPRM untuk segera membawa pulang Jho Low ke tanah air dan didakwa di mahkamah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, rakyat semakin hairan mengapa Jho Low masih gagal dikesan sedangkan wartawan luar mampu mengetahui lokasi sebenar individu berkenaan.

“Kenapa wartawan boleh tahu, tetapi pihak berkuasa tidak? Ini menimbulkan persoalan besar dan menghakis keyakinan rakyat terhadap usaha membawa Jho Low ke muka pengadilan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Puad turut menyindir bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang sebelum ini mendakwa Jho Low telah menukar identiti dan berjalan seperti seladang, selain pernah berjanji individu itu akan dibawa pulang menjelang Disember 2019.

“Semua itu hanya sembang kari yang memalukan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mempersoalkan keabsahan perbicaraan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menurutnya dijalankan tanpa kehadiran dua saksi penting, Jho Low dan Nik Faisal.

“Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mendakwa kes itu hanya berasaskan khabar angin (hearsay). Maka sewajarnya dibuang sahaja,” katanya.

Menurut Puad, timbul persoalan mengenai kemungkinan wujud konspirasi seperti yang dipercayai sesetengah pihak, khususnya apabila tokoh-tokoh utama seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tan Sri Tommy Thomas dan Latheefa Koya kehilangan kedudukan masing-masing dalam tempoh singkat.

“Dalam keadaan rakyat tertanya-tanya, kini hanya ‘karma’ yang mampu memberikan jawapan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN