Pasaran kekal berhati-hati, FBMKLCI diunjur 1,545 mata

Pasaran kekal berhati-hati, FBMKLCI diunjur 1,545 mata

UNJURAN pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan pada separuh kedua 2025 turut memberi tekanan kepada prestasi syarikat tersenarai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasaran saham tempatan dijangka terus diniagakan dalam keadaan berhati-hati susulan ketidaktentuan yang masih menyelubungi kejutan pengumuman tarif oleh Amerika Syarikat (AS).

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata,  FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) diunjurkan bergerak dalam julat antara 1,535 mata hingga 1,545 mata pada minggu ini, selaras dengan persekitaran pasaran yang lebih mencabar.

Katanya, kecenderungan Presiden AS, Donald Trump ketika ini yang sering membuat keputusan dasar secara mendadak, dijangka terus menjejaskan sentimen pelabur, sekali gus mendorong pelabur mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

“Selain itu, unjuran pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan pada separuh kedua 2025 turut memberi tekanan kepada prestasi syarikat tersenarai. 

“Ini khususnya dari segi prospek margin keuntungan yang dijangka semakin mengecil,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Menyentuh mengenai kesan penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang diumumkan minggu lalu, beliau berkata, ia dilihat masih terkawal ke atas harga saham sektor perbankan, meskipun margin keuntungan bersih (NIM) dijangka berkurangan dalam tempoh terdekat. 

“Ini berikutan kontrak pembiayaan berkadar terapung yang akan diselaras lebih rendah sejajar dengan perubahan OPR,” katanya. 

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, ekonomi domestik dijangka terus mengekalkan momentum pertumbuhan yang positif, didorong oleh kadar pinjaman dan kadar simpanan yang lebih rendah susulan penurunan OPR. 

“Keadaan ini akan menggalakkan perbelanjaan serta peningkatan pembiayaan bagi item besar ekonomi seperti pembelian hartanah dan kenderaan baharu. 

“Impaknya turut memberi kesan berganda kepada sektor pembinaan, runcit dan borong serta pelancongan,” katanya.

Minggu lalu Utusan Malaysia melaporkan, Bank Negara Malaysia (BNM) mengurangkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus selepas mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Rabu lalu. 

Seiring dengan itu, kadar siling dan lantai bagi koridor OPR turut diselaraskan kepada masing-masing 3.0 peratus dan 2.5 peratus. 

Mengulas lanjut, Aimi berkata, penurunan OPR juga memberi ruang kewangan kepada pengeksport barangan ke AS yang terjejas akibat pengenaan tarif import sebanyak 25 peratus.

“Sekurang-kurangnya mereka boleh menarik nafas lega kerana beban kewangan berkurang. 

“Dalam tempoh ini, ia dapat membantu mereka menyesuaikan semula operasi dan struktur perniagaan mengikut perubahan landskap perdagangan global susulan tindakan yang diambil oleh pentadbiran Trump,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN