PARLIMEN: Tribunal Hak Asasi siasat semua kes termasuk Teoh Beng Hock

PARLIMEN: Tribunal Hak Asasi siasat semua kes termasuk Teoh Beng Hock

M. KULASEGARAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebarang kes pencabulan hak asasi termasuk kematian Teoh Beng Hock berkemungkinan akan disiasat Tribunal Hak Asasi Manusia sebaik ditubuhkan nanti.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran berkata, perkara itu sudahpun dibincangkan dalam sesi libat urus penubuhan tribunal itu.

“Masih terlalu awal untuk dikatakan (mengenai ketetapan untuk membenarkan tribunal menyiasat kes berkaitan hak asasi) kerana kerangka asas dan perimeter (penubuhan) belum diadakan.

“Sebab itu kita adakan libat urus dengan pihak berkepentingan. Namun, saya sependapat dengan perkara yang berkaitan pencabulan hak asasi boleh disiasat dan tindakan susulan boleh diambil sebagaimana di negara lain yang melaksanakan siasatan sedemikian,” katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Teresa Kok Suh Sim (PH-Seputeh) mengenai kemungkinan Tribunal Hak Asasi Manusia dibenarkan menyiasat kes berkaitan pencabulan hak asasi, termasuk kematian Beng Hock.

Kulasegaran dalam masa yang sama turut memberi jaminan penubuhan tribunal selari Perlembagaan dan mengambil kira aspek pematuhan syariah Islam di samping Jawatankuasa Kajian Kebolehlaksanaan Tribunal Hak Asasi Manusia (JKKTHAM) dianggotai wakil Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Dalam jawatankuasa pun ramai peguam yang pernah mengendalikan kes berkaitan hak asasi, maka ia akan mengambil kira semua perkara berkenaan. Jika tribunal ini ada sebelum ini, saya percaya siasatan sudahpun dijalankan,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat). –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×