Transaksi BNPL cecah 102.6 juta suku pertama tahun ini

PARLIMEN: Transaksi BNPL cecah 102.6 juta suku pertama tahun ini

LIM Hui Ying ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini. - JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jumlah transaksi ‘Beli Sekarang, Bayar Kemudian’ (BNPL) melonjak kepada 102.6 juta transaksi dalam suku pertama tahun ini berbanding 83.8 juta transaksi pada separuh kedua tahun 2024.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, peningkatan mendadak itu membuktikan betapa pesatnya pertumbuhan sistem kredit baharu tersebut yang kini menjadi pilihan ramai.

Katanya, peningkatan itu sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap risiko kewangan dalam kalangan pengguna terutama golongan mudah terjejas serta menjerat pengguna yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau berpengetahuan lemah dalam literasi kewangan.

“Nilai keseluruhan transaksi BNPL juga meningkat daripada RM7.1 bilion kepada RM9.3 bilion dalam tempoh yang sama, iaitu peningkatan sebanyak 31 peratus,” katanya ketika membentangkan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Kredit Pengguna di sidang Dewan Rakyat hari ini.

Lim berkata, sehingga Jun 2025, sebanyak 1.4 juta akaun baharu BNPL telah didaftarkan, manakala jumlah akaun aktif kini mencecah 6.5 juta berbanding 5.1 juta pada akhir 2024.

Menurut beliau, perkembangan pesat itu memerlukan satu kerangka undang-undang yang komprehensif bagi melindungi kepentingan pengguna dan mengawal selia industri kredit yang kini tidak tertakluk sepenuhnya di bawah sebarang akta khusus.

“Tanpa kawal selia jelas, wujud penyedia perkhidmatan kredit yang menyasarkan golongan mudah terjejas, malah menggunakan ejen kutipan hutang yang agresif serta mengamalkan taktik intimidasi melampau,” katanya.

Rang Undang-Undang (RUU) Kredit Pengguna ini akan membantu mengawasi industri yang sedang berkembang itu supaya lebih telus dan bertanggungjawab.

Antara peruntukan dalam RUU itu ialah penubuhan Suruhanjaya Kredit Pengguna (CCC) sebagai pihak berkuasa baharu yang akan mengawal selia penyedia kredit bukan bank dan penyedia perkhidmatan kredit di negara ini.

Rang Undang-Undang Kredit Pengguna telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Mac tahun ini dan dijangka diluluskan di Dewan Rakyat hari ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN