PARLIMEN: Telegram Edisi Siasat, Edisi Khas masih dalam pertimbangan mahkamah

PARLIMEN: Telegram Edisi Siasat, Edisi Khas masih dalam pertimbangan mahkamah

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tindakan undang-undang sivil terhadap platform Telegram serta pentadbir dua saluran Edisi Siasat dan Edisi Khas masih dalam pertimbangan mahkamah buat masa ini.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, tindakan itu dibuat susulan paparan kandungan yang didapati melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan bukannya bertujuan menyekat kebebasan bersuara seperti yang didakwa segelintir pihak.

“Buat masa ini, satu perintah sementara (ad-interim) telah dikeluarkan oleh mahkamah yang membawa kepada penurunan kandungan yang dinyatakan dalam tindakan undang-undang yang difailkan serta penutupan saluran-saluran terbabit.

“Tindakan selanjutnya bergantung kepada pertimbangan mahkamah,” katanya dalam jawapan bertulis.

Beliau menjawab soalan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN–Masjid Tanah) berhubung jaminan tindakan terhadap saluran Telegram terbabit tidak menjejaskan kebebasan bersuara khususnya apabila kandungan yang dipaparkan melibatkan isu ketelusan dan antirasuah.

Fahmi berkata, kerajaan sentiasa menghormati prinsip kebebasan bersuara, namun hak tersebut perlu digunakan secara bertanggungjawab dan tidak melanggar undang-undang sedia ada.

“Perkara 10(2)(a) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan bahawa Parlimen boleh mengenakan sekatan ke atas kebebasan bersuara demi kepentingan keselamatan negara, ketenteraman awam dan prinsip moral,” katanya.

Tambahnya, rakyat bebas berkongsi pandangan dan kritikan termasuk berkaitan isu ketelusan serta antirasuah, namun kandungan yang disebarkan perlu mematuhi garis undang-undang dan tidak berunsur fitnah, hasutan atau menjejaskan keselamatan.

Dalam hal ini, beliau turut mengingatkan bahawa platform media sosial juga mempunyai tanggungjawab untuk memastikan kandungan yang dipaparkan tidak menyalahi undang-undang tempatan.

“Kerajaan kekal komited memastikan ruang digital negara kekal selamat, beretika dan selari dengan peruntukan perundangan,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN