KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan siasatan terhadap kandungan media sosial berunsur lucah, palsu, mengancam dan jelik secara menyeluruh dan telus berpandukan peruntukan undang-undang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, siasatan dimulakan berdasarkan Laporan Maklumat Pertama (FIR) yang diterima daripada orang awam, permohonan agensi penguat kuasa lain atau pemantauan proaktif oleh MCMC.
“Setelah laporan diterima, MCMC akan menyiasat di bawah seksyen berkaitan termasuk Seksyen 233 Akta 588 jika kandungan itu mempunyai unsur lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik melampau.
“Pemeriksaan boleh dijalankan dengan waran geledah mengikut Seksyen 247 atau dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah Seksyen 248.
“Rakaman percakapan individu juga diambil bawah Seksyen 256, manakala notis kehadiran dikeluarkan mengikut Seksyen 255,” katanya dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) mengenai prosedur siasatan MCMC terhadap aduan berkait kenyataan-kenyataan di media sosial.
Fahmi berkata, sekiranya terdapat bukti awal yang mengaitkan individu disiasat, peranti komunikasi mereka boleh disita oleh MCMC atau PDRM untuk tujuan ujian forensik.
“Kertas siasatan yang lengkap akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk pertimbangan mendakwa di mahkamah. Jika sesuai, tawaran kompaun turut boleh diputuskan oleh TPR,” ujarnya.
Tambah beliau, semua prosedur siasatan MCMC dilaksana mengikut tatacara sah dan mematuhi undang-undang sedia ada di bawah Akta 588.
“MCMC bertanggungjawab menguatkuasakan Akta 588 termasuk pengawalseliaan kandungan dalam talian, dan siasatan dijalankan secara profesional bagi memastikan prinsip undang-undang ditegakkan dengan seadilnya,” katanya.-UTUSAN










