PARLIMEN: RUU wajibkan pendidikan menengah dibentang

PARLIMEN: RUU wajibkan pendidikan menengah dibentang

WONG KAH WOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Pendidikan (Pindaan) 2025 bertujuan mewajibkan pendidikan peringkat menengah dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, bacaan kali kedua dan ketiga bagi RUU berkenaan turut dijadualkan pada sidang Parlimen kali ini.

RUU itu antara lain mencadangkan pindaan terhadap beberapa peruntukan dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), termasuk takrifan baharu ‘pendidikan wajib’ yang diperluas merangkumi pendidikan menengah.

Fasal 2 memperuntukkan pindaan terhadap Seksyen 2 Akta 550 bagi menggantikan takrif ‘pendidikan wajib’ supaya turut meliputi pendidikan menengah.

Selain itu, Fasal 3 pula meminda Seksyen 29A(2) bagi mewajibkan ibu bapa memastikan anak mereka yang merupakan warganegara dan menetap di Malaysia didaftarkan di sekolah rendah serta mengikuti pendidikan rendah sepenuhnya.

Pendaftaran perlu dilakukan sekiranya anak tersebut mencapai umur enam tahun pada 1 Januari tahun persekolahan semasa.

Fasal 4 pula memperkenalkan seksyen baharu iaitu Seksyen 32A yang memperuntukkan kuasa kepada Menteri Pendidikan untuk menetapkan pendidikan menengah sebagai pendidikan wajib.

Seksyen itu juga membolehkan pengecualian diberikan kepada mana-mana murid atau pelajar daripada keperluan mengikuti pendidikan menengah wajib dan membolehkan peraturan berhubung pelaksanaannya digubal.

Pada masa sama, ia memperuntukkan ibu bapa perlu memastikan anak mereka yang warganegara dan tinggal di Malaysia didaftarkan serta mengikuti pendidikan di institusi menengah dalam tempoh ditetapkan.

Peruntukan penalti turut dicadangkan bagi ibu bapa yang melanggar Subseksyen 32A(2).

RUU tersebut dijangka melibatkan perbelanjaan wang tambahan oleh kerajaan, namun jumlahnya belum dapat ditentukan ketika ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN