PARLIMEN: RUU Bekalan Elektrik perlu adil, jangan bebankan rakyat

PARLIMEN: RUU Bekalan Elektrik perlu adil, jangan bebankan rakyat

perlembagaan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan memodenkan undang-undang tenaga menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Bekalan Elektrik (Pindaan) 2025 tidak seharusnya menjadi perubahan kosmetik semata-mata, sebaliknya perlu menjamin keadilan kepada semua lapisan rakyat.

Azahari Hasan (PN-Padang Rengas) berkata, peralihan kepada sumber tenaga lestari memang wajar, namun pelaksanaannya perlu dilihat secara holistik agar tidak menekan pengguna terutama golongan B40 dan M40.

“Saya menyambut baik usaha kerajaan, namun soal tarif elektrik perlu diteliti. Kita tidak mahu transformasi hijau ini akhirnya menjadi beban ekonomi kepada rakyat.

“Adakah perubahan pelesenan dalam RUU ini akan menyebabkan tarif meningkat? Saya cadangkan satu moratorium tarif dipertimbangkan sehingga kesan sebenar dapat dikenal pasti secara menyeluruh dan telus,” katanya ketika membahaskan RUU itu di Dewan Rakyat hari ini.

Azahari berkata, RUU itu memberi kuasa kepada Menteri dan Suruhanjaya Tenaga dalam soal pelesenan termasuk tenaga boleh baharu, namun tiada jaminan jelas sama ada akses teknologi hijau akan diperluas ke kawasan luar bandar termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Kita mahu teknologi seperti solar dan grid pintar juga sampai ke luar bandar, bukan hanya tertumpu di bandar besar. Prinsip keadilan sosial dalam Islam menuntut supaya kawasan tertinggal turut disantuni,” ujarnya.

Azahari turut membangkitkan isu ketelusan dan semak imbang dalam pemberian lesen terutamanya kebimbangan terhadap potensi salah guna kuasa jika tiada mekanisme kawal selia yang jelas.

“Saya cadangkan penubuhan Jawatankuasa Parlimen khas bagi memantau pelaksanaan pelesenan dan pelaburan dalam sektor ini secara berkala,” katanya.

Beliau turut menggesa Kementerian menyusun pelan khas untuk memperkasakan penyertaan vendor Bumiputera serta usahawan kecil dan muda dalam sektor tenaga boleh baharu.

“Jangan hanya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau syarikat besar yang menguasai sektor ini, manakala rakyat biasa hanya menjadi penonton,” tegasnya.

Azahari juga menyentuh Fasal 5 hingga 7 yang memperkenalkan kawal selia import dan eksport elektrik serta peranan pengendali pasaran seperti diperincikan dalam Seksyen baharu 22C dan 22D.

Katanya, transformasi tenaga ini perlu digerakkan selari dengan prinsip Maqasid Syariah yang mengutamakan pemeliharaan nyawa, harta dan kemaslahatan umum.

“Ia bukan hanya soal teknikal, tetapi keperluan asas dalam kehidupan moden. Dasar ini perlu cekap, telus dan berpaksikan kepentingan rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN