KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta memastikan pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Bekalan Elektrik (Pindaan) 2025 dibuat secara telus dan tidak meminggirkan peranan kerajaan negeri, khususnya dalam urusan eksport dan import tenaga elektrik.
Datuk Ahmad Amzad Hashim (PN-Kuala Terengganu) berkata, pindaan Seksyen 22D yang memperkenalkan keperluan pelesenan bagi pengimportan dan pengeksportan elektrik perlu disusuli penjelasan menyeluruh, termasuk siapa yang layak menerima lesen serta kaedah pemilihannya.
“Secara prinsipnya saya menyokong langkah ini bagi mengawal selia transaksi rentas sempadan, tetapi ada beberapa persoalan yang saya ingin bangkitkan.
“Siapakah yang akan diberi lesen dan apakah proses pemilihannya telus atau akan dikuasai oleh syarikat-syarikat berkepentingan atau GLC,” soalnya ketika membahaskan RUU tersebut di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri perlu dilibatkan secara langsung memandangkan aktiviti tenaga melibatkan penggunaan tanah, infrastruktur fizikal dan sumber asli yang berada di bawah bidang kuasa negeri.
“Apakah kedudukan kerajaan-kerajaan negeri yang menjadi tuan tanah kepada sumber tenaga tetapi langsung tak disebut di dalam RUU ini?
“Adakah negeri tidak diberi ruang konsaltasi atau penglibatan walaupun projek-projek tenaga sering melibatkan tanah infrastruktur dan kepentingan ekonomi negeri.
“Adakah hasil eksport tenaga akan diagih secara adil kepada negeri pengeluar? Tanpa pengiktirafan hak negeri kita akan ulangi lagi kesilapan sistem federalisme kita di mana negeri sekadar pembekal sumber tetapi tidak diberi hak di dalam hasil,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Amzad turut membangkitkan isu kenaikan tarif elektrik yang berkuat kuasa 1 Julai lalu, sekali gus meminta penjelasan bagaimana eksport tenaga dapat berjalan seiring dengan usaha kerajaan meringankan beban pengguna domestik. – UTUSAN