PARLIMEN: RM118.9 juta bantu tingkat hasil getah pekebun kecil

PARLIMEN: RM118.9 juta bantu tingkat hasil getah pekebun kecil

RUBIAH AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM118.9 juta diperuntukkan bagi melaksanakan Program Peningkatan Produktiviti RISDA 2025 yang dijangka memberi manfaat kepada 20,000 pekebun kecil di seluruh negara membabitkan keluasan 28,400 hektar.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Awang berkata, program tersebut merangkumi tiga komponen utama iaitu Program Produktiviti Getah (Proget) untuk meningkatkan hasil daripada pokok getah matang, Program Produktiviti Lateks (Proteks) bagi merangsang pengeluaran lateks negara serta Geran Padanan bagi menambah kapasiti pengeluaran lateks secara nasional.

Katanya, langkah itu adalah antara usaha proaktif kerajaan melalui Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) untuk membantu pekebun kecil menangani cabaran kejatuhan harga getah dan peningkatan kos sara hidup.

“Kerajaan sentiasa prihatin terhadap nasib pekebun kecil yang terkesan. Sehubungan itu, pelbagai bentuk bantuan telah dan sedang dilaksanakan termasuk pemberian insentif pengeluaran getah serta geran peningkatan produktiviti,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Azahari Hasan (PN–Padang Rengas) mengenai bentuk bantuan kewangan, insentif pengeluaran getah atau geran peningkatan produktiviti yang disediakan oleh kerajaan kepada pekebun kecil dan penoreh getah khususnya di Parlimen Padang Rengas.

Menurut Rubiah, bagi negeri Perak, sejumlah RM12.9 juta diperuntukkan di bawah program berkenaan membabitkan kawasan seluas 3,500 hektar dan memberi manfaat kepada 2,300 pekebun kecil.

Manakala di kawasan Parlimen Padang Rengas sebanyak RM65,000 diperuntukkan melibatkan kawasan seluas 26 hektar yang akan memanfaatkan seramai 17 pekebun kecil.

Selain itu, katanya, RISDA turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan keusahawanan dan agromakanan bagi menggalakkan pekebun kecil menjana pendapatan tambahan dan memperkukuh daya tahan ekonomi mereka secara lebih lestari dan bersepadu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN