KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta memperketat kawalan terhadap penggunaan kod pendek (short code) yang sering digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk menjalankan penipuan siber, termasuk melalui mesej palsu menyerupai sistem bank.
Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) berkata, terdapat keperluan untuk kementerian menyemak semula senarai pemberi lesen kod pendek bagi membendung aktiviti ‘scammer’ yang semakin licik dalam memperdaya rakyat.
“Contohnya bermula dengan lima digit atau enam digit secara berkala, perlu dipantau untuk elak penyalahgunaan. Termasuk juga isu telefon yang kena ‘hack’ (ceroboh).
“Dilaporkan kerugian rakyat akibat penipuan ini mencecah lebih RM100 juta,” ujarnya ketika mengemukakan soalan tambahan dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau turut membangkitkan isu penyalahgunaan platform digital oleh peniaga tidak berlesen yang menjual produk secara langsung menerusi aplikasi seperti TikTok, termasuk barangan sensitif seperti baja pertanian tanpa pemantauan pihak berkuasa.
“Ada juga lambakan produk terlarang di platform e-dagang, antaranya mata wang tiruan, alat lucah dan produk tidak menepati piawaian keselamatan.
“Apakah mekanisme menyeluruh kerajaan untuk menyekat penyalahgunaan platform digital ini dan bagaimana bentuk penguatkuasaan rentas kementerian dilaksanakan,” soalnya.
Menjawab persoalan tersebut, Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beberapa agensi utama terlibat dalam usaha menyekat jenayah siber, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Dari sudut penguatkuasaan, ia melibatkan PDRM. Dari sudut perlesenan, ada elemen kawal selia oleh MCMC melalui Akta Komunikasi dan Multimedia. Jika penipuan melibatkan akaun bank, kita libatkan Bank Negara untuk memanggil institusi perbankan terbabit,” jelas beliau.
Katanya, antara harapan utama rakyat apabila menjadi mangsa scam ialah agar akaun penjenayah dibekukan segera dan wang yang diseleweng dapat dipulangkan.
“Pendang sebut tadi, bila rakyat buat aduan, dia mahu duit itu diselamatkan dan dikembalikan. Itulah harapan utama rakyat kita,” katanya. – UTUSAN