KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta memperkukuh peranan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya mereka dapat memastikan kebersihan tempat awam serta penyediaan kemudahan asas yang lebih menyeluruh kepada peniaga, khususnya perniagaan kecil.
Dr. Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) berkatam, pindaan terhadap subseksyen 73(1A)(ii) Akta Kerajaan Tempatan menerusi Rang Undang-Undang Kerajaan Tempatan (Pindaan) 2025 berkait rapat dengan usaha memelihara kawasan awam agar sentiasa bersih dan bebas daripada kekotoran termasuk sampah sarap, bangkai binatang dan air simbahan.
“Pihak PBT memainkan peranan penting dalam menyokong ekosistem perniagaan, khususnya bagi perniagaan kecil yang menjadi tulang belakang ekonomi tempatan dengan menyediakan kemudahan.
“Seperti tapak perniagaan strategik, lesen mudah diakses serta infrastruktur asas seperti tandas awam dan tong sampah bertujuan untuk memastikan persekitaran perniagaan yang bersih, teratur dan selamat.
“Usaha ini bukan sahaja membantu peniaga kecil berkembang tetapi juga menyokong pencegahan isu kebersihan dan kesihatan awam sejajar dengan dasar kebersihan negara yang diperkenalkan pada 2019.
“Persoalan yang ingin saya bangkitkan di sini ialah pertama sejauh manakah usaha kerajaan dalam menyediakan kemudahan yang saksama kepada peniaga termasuk tapak strategi untuk perniagaan?
“(Juga) lesen yang mudah diakses serta infrastruktur seperti tandas awam dan tong sampah untuk menyokong pencegahan isu kebersihan dan kesihatan awam,” katanya semasa membahaskan Rang Undang-Undang Kerajaan Tempatan (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat, hari ini. – UTUSAN