KUALA LUMPUR: Pengumuman inisiatif penghargaan buat rakyat Malaysia oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu meredakan tekanan kos sara hidup dan menyediakan ruang perbelanjaan yang lebih selesa khususnya kepada golongan B40 dan M40.
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Madani, Datuk Mohd. Shahar Abdullah berkata, pengumuman itu memperlihatkan komitmen teguh Kerajaan Madani dalam meletakkan kebajikan rakyat sebagai keutamaan utama pentadbiran.
“Langkah seperti pemberian tunai RM100 secara one-off menerusi MyKad melalui inisiatif SARA untuk Semua, pengekalan kadar tol, perluasan program Jualan Rahmah Madani serta penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap realiti hidup rakyat ketika ini.
“Ini adalah pendekatan proaktif yang bukan sahaja membantu mengurangkan beban sara hidup, tetapi juga memberi ruang kepada rakyat untuk berbelanja dengan lebih selesa,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan Parlimen hari ini.
Menurut beliau, pendekatan menyeluruh itu membuktikan Kerajaan Madani mendengar keluhan rakyat dan bertindak pantas dalam mencari penyelesaian tuntas demi kesejahteraan bersama.
Katanya, inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri itu mencerminkan terjemahan hasil usaha keras kerajaan dalam menarik pelaburan dan memacu pertumbuhan ekonomi negara, selaras dengan kerangka Ekonomi Madani yang mengangkat keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan keadilan sosial.
“Kami yakin segala langkah yang diumumkan akan memberikan impak langsung kepada kehidupan rakyat dan dalam masa sama turut merangsang pertumbuhan ekonomi secara mampan.
“BBC menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus memberikan sokongan kepada kerajaan demi memastikan Malaysia terus maju, makmur dan sejahtera,” katanya. – UTUSAN











