PARLIMEN: Penempatan guru baharu lepasan PISMP September ini

PARLIMEN: Penempatan guru baharu lepasan PISMP September ini

JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Penempatan guru baharu Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) dijangka dilaksanakan September ini bagi mengisi kekosongan guru di sekolah seluruh negara.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya akan melaksanakan penempatan guru baharu setelah menerima senarai calon yang telah diperakukan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan.

Beliau berkata, seramai 5,256 orang dan semua graduan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) lepasan PISMP telah berjaya diberikan penempatan ke seluruh negara pada 30 September 2024.

“Bagi tahun 2025, penempatan guru baharu PISMP dijangka akan dilaksanakan pada bulan September dan tertakluk kepada keputusan temu duga oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP),” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) yang meminta menyatakan setakat mana peratusan siswa lepasan IPG dapat penempatan yang mereka mohon dan apakah ukuran yang diambil kira dalam proses penempatan mereka.

Fadhlina berkata, dalam menguruskan penempatan guru baharu ia perlu mengikut keutamaan pendidikan dan beberapa segmen khusus yang menjadi keutamaan kementerian agar memenuhi aspirasi keutamaan pendidikan.

“Penempatan guru baharu ditentukan berdasarkan beberapa faktor termasuk pilihan negeri yang dikemukakan semasa proses pengemaskinian maklumat diri.

“Penempatan mengikut lokaliti khususnya bagi calon dari Sabah dan Sarawak serta calon Orang Asli bagi membolehkan mereka berkhidmat berhampiran dengan kampung halaman dan menyokong pembangunan pendidikan luar bandar.

“Keputusan akhir penempatan adalah bergantung sepenuhnya kepada kekosongan jawatan sebenar serta keperluan opsyen semasa mengikut keutamaan pendidikan,” katanya.

Tambah beliau, penempatan tetap berdasarkan keperluan opsyen dan kekosongan jawatan walaupun calon boleh menyatakan keutamaan lokasi dan kesediaan berkhidmat.

“Inilah keutamaan pendidikan bagi memartabatkan aspirasi pendidikan itu sendiri. Keutamaan pendidikan itu menjadi keutamaan kita.

“KPM komited memberi keutamaan terhadap hak murid di sekolah untuk mendapatkan pendidikan yang terbaik melalui penempatan guru baharu yang mencukupi di seluruh negara,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN