KUALA LUMPUR: Program wakaf air yang mula dirintis ketika pemerintahan Perikatan Nasional pada 2020 hingga 2022 telah memberi impak besar kepada penduduk di kawasan pedalaman.
Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) berkata, program dibawah Yayasan Wakaf Malaysia itu telah memberi manfaat khusus kepada 53 peratus penduduk di kawasan pendalaman negara kerana sukar menerima kemudahan untuk menikmati bekalan air bersih.
Bagaimanapun katanya, kini wujud kelompangan dalam pelaksanaannya di mana pihaknya menerima aduan rakyat mengenai kesukaran untuk menyalurkan sumbangan.
Katanya, perkara itu perlu diberi perhatian oleh kerajaan hari ini sekali gus memastikan konsep wakaf dapat diperkukuhkan.
“Ada rungutan di peringkat pemohon tentang mekanisma yang mungkin dapat diperbaiki contohnya perlukan sebut harga lima syarikat berdaftar Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), dianggap agak menyukarkan mereka.
“Mengenai jumlah, saya dapat maklumat adakah kerajaan berhasrat untuk meningkatkan jumlah sekarang ini RM50,000, apakah dapat dipertingkatkan memandangkan keperluan kos barangan yang naik dan sebagainya,” katanya ketika mengemukakan pertanyaan pada sesi soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir di Dewan Rakyat hari ini.
Ahli Parlimen Johor Bharu itu dalam jawapannya memberitahu, mekanisme program wakaf air termasuk urus tadbir diselia oleh yayasan, sementara bekalan air pula dikelola Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Katanya, wujud jurang dalam bidang kuasa yang ditetapkan rentas kementerian dan agensi, malah pihaknya akan pastikan persoalan dibangkitkan Timbalan Presiden PAS itu dirungkai dengan sebaik mungkin.
“Perkara yang dibangkitkan tadi sama ada dari segi permohonan itu saya akan semak apa Yang Berhormat maklumkan sekiranya proses itu menjadi beban betul dari segi program itu, skala kecil RM50,000 dan sebagainya.
“Jadi iaitu kita akan teliti apa Yang Berhormat sebutkan kerana sekiranya perkara itu hanya menjadi satu proses birokasi yang lebih rumit sedangkan projek itu dari segi pelaksanaannya agak ringkas,” katanya.
Terdahulu Tuan Ibrahim sesi jawapan lisan bertanya status program wakaf air serta hasrat kerajaan untuk memasukkan program itu dalam Pelan Induk Sumber Air Negara atau Rancangan Malaysia Ke 13 (RMK13). – UTUSAN