PARLIMEN: NSRC terima 500 panggilan ‘scam’ setiap hari

PARLIMEN: NSRC terima 500 panggilan ‘scam’ setiap hari

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) menerima sekurang-kurangnya 500 panggilan aduan berkaitan penipuan dalam talian setiap hari yang menunjukkan trend peningkatan berterusan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, situasi itu membuktikan betapa seriusnya ancaman jenayah dalam talian terhadap rakyat dan memerlukan tindakan segera serta penambahbaikan menyeluruh.

“Dengan jumlah aduan yang tinggi setiap hari, terdapat keperluan untuk memperkukuh struktur NSRC bagi memastikan setiap panggilan dapat ditangani secara cekap dan pantas,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Chong Zhemin (PH–Kampar) yang membangkitkan isu hala tuju baharu Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam menangani jenayah penipuan dalam talian selepas pengumuman bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menerajui sepenuhnya operasi NSRC.

Menurut Saifuddin, keputusan meletakkan NSRC di bawah kendalian penuh PDRM telah dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memastikan pengurusan aduan lebih berkesan.

“NSRC kini diletakkan di bawah kawal selia KDN dan diterajui sepenuhnya oleh PDRM, manakala elemen teknikal daripada Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) masih dikekalkan.

“Pusat ini kini beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu tanpa henti selaras dengan piagam pelanggan baharu kerana jenayah penipuan boleh berlaku pada bila-bila masa,” katanya.

Saifuddin turut mengakui terdapat rungutan sebelum ini berhubung panggilan ke talian 997 yang tidak dijawab pada waktu malam walaupun mangsa menyedari berlaku penipuan terhadap mereka.

“Dengan pengambilalihan sepenuhnya oleh PDRM, kita mahu memastikan aduan rakyat diberi maklum balas segera dan menyeluruh,” katanya.

Dalam usaha meningkatkan keupayaan NSRC, kerajaan turut mempertimbang penambahan tenaga kerja.

“Perdana Menteri telah bersetuju supaya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mempertimbangkan pewujudan 139 perjawatan baharu di NSRC bagi mempertingkatkan kapasiti operasi pusat tersebut,” katanya lagi. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN