KUALA LUMPUR: Tiada sebarang perlindungan akan diberikan terhadap ahli perniagaan Indonesia, Mohammad Riza Chalid, yang sedang disiasat pihak berkuasa republik itu.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, Malaysia pada masa yang sama menghormati sepenuhnya proses undang-undang negara berkenaan yang sedang dilaksanakan terhadap individu tersebut.
“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah menyatakan bahawa isu melibatkan Mohammad Riza adalah berkaitan undang-undang di negara berkenaan dan kita tidak akan memberikan perlindungan kepadanya.
“Biarlah undang-undang berjalan. Ini adalah komitmen Perdana Menteri,” katanya ketika menjawab soalan pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar ketika pertemuan tertutup bersama beberapa pemimpin redaksi media Indonesia di Jakarta mengesahkan bahawa beliau mengenali dan pernah bertemu dengan ahli perniagaan kontroversi Indonesia, Mohammad Riza.
Beliau namun menegaskan bahawa kerajaan Malaysia tidak campur tangan dalam sebarang proses undang-undang membabitkan individu itu di Indonesia.
Dalam pada itu Mohamad Alamin turut menegaskan Malaysia tegas terhadap proses undang-undang dan tiada sesiapa yang terkecuali daripadanya.
“Tidak ada perlindungan diberikan kepada sesiapa yang bersalah,” katanya.
Sebelum ini Koordinator Masyarakat Anti Korupsi Indonesia (MAKI), Boyamin Saiman mendakwa Riza Chalid kini menetap di Malaysia selepas ditetapkan sebagai suspek dalam kes rasuah berkaitan pengurusan minyak mentah PT Pertamina bagi tempoh 2018 hingga 2023.
Menurut Boyamin, Riza dipercayai telah lama tinggal di negeri Johor dan didakwa telah berkahwin dengan seorang kerabat diraja dari salah sebuah negeri di Malaysia, yang dikenal pasti bermula dengan huruf ‘J’ atau ‘K’.- UTUSAN










