KUALA LUMPUR: Aktiviti pembangunan setempat seperti kerja penggalian bukan punca kebakaran paip gas di Putra Heights yang berlaku pada 1 April lalu, sebaliknya berpunca daripada pergerakan tanah bawah permukaan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, siasatan mendapati paip gas berkenaan terletak pada kedalaman sekurang-kurangnya enam meter yang menjadikannya mustahil untuk terjejas akibat kerja penggalian biasa.
“Paip itu berada pada kedalaman enam meter, jadi tidak mungkin kerja penggalian biasa boleh sampai ke paras tersebut. Letupan berlaku disebabkan pergerakan tanah bawah permukaan serta runtuhan yang menyebabkan geseran dan akhirnya mencetuskan letupan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) berhubung keputusan punca letupan paip gas Petronas di Putra Heights yang lalu serta jaminan kawasan dan sistem paip gas Malaysia masih lagi selamat.
Abdul Rahman berkata, pergerakan tanah berlaku akibat pengumpulan air secara berpanjangan di satu lokasi sehingga menyebabkan struktur tanah yang menyokong paip menjadi lemah.
Menurut beliau, siasatan lanjut juga mendapati sambungan pada paip berkenaan mengalami keletihan mekanikal (mechanical fatigue) akibat tekanan berulang (cyclic loading) yang memberi tekanan berterusan terhadap komponen tersebut.
“Kerja-kerja penggantian sedang dijalankan oleh kontraktor terlibat dan ia mematuhi piawaian antarabangsa,” ujarnya.
Mengulas keselamatan sistem paip gas milik Petronas, Abdul Rahman berkata, tahap keselamatan talian paip tersebut berada dalam piawaian antarabangsa yang diiktiraf berdasarkan pemeriksaan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).
“Secara keseluruhan, sistem paip gas di seluruh jajaran di Malaysia masih lagi selamat. Langkah pencegahan juga telah dilaksanakan termasuk penilaian teknikal terhadap paip gas, meningkatkan rondaan di kawasan padat penduduk, mengemas kini penilaian risiko geoteknikal serta menambah baik kesiapsiagaan kecemasan,” katanya.
Tambah beliau, di bawah prinsip pengawalseliaan kendiri yang digariskan dalam Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (AKKP 1994) yang menjadi tanggungjawab semua pihak untuk memastikan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan sentiasa berada dalam keadaan terbaik.
“Sekiranya siasatan mendapati berlaku pelanggaran terhadap mana-mana peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan JKKP, tindakan tegas akan diambil tanpa sebarang kompromi,” tegasnya.
Media sebelum ini melaporkan, kejadian letupan paip gas di Putra Heights itu telah merosakkan ratusan kediaman dan memaksa pemindahan ratusan penduduk di kawasan berkenaan. – UTUSAN










