PARLIMEN: KPM rangka tiga modul sekolah di kawasan berkepadatan tinggi

PARLIMEN: KPM rangka tiga modul sekolah di kawasan berkepadatan tinggi

WONG KAH WOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan mencadangkan tiga modul utama dalam pembangunan sekolah menegak (vertical school) sebagai penyelesaian jangka panjang terhadap masalah kekurangan tanah di kawasan bandar berkepadatan tinggi.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, ketiga-tiga modul itu dirangka secara fleksibel bagi menyesuaikan pembinaan sekolah dengan keperluan tempatan serta memastikan aspek keselamatan, akses pendidikan dan kelestarian persekitaran sentiasa terpelihara.

“Modul 1 melibatkan pembinaan sekolah sepenuhnya untuk tujuan pendidikan, manakala Modul 2 menggabungkan sekolah dengan kemudahan komuniti seperti klinik dan perpustakaan.

“Modul 3 pula membabitkan pembangunan sekolah secara integrasi dengan projek perumahan atau komersial yang mengambil kira isu pengurusan strata serta keselamatan murid,” katanya pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Muslimin Yahaya (PN–Sungai Besar) yang meminta penjelasan mengenai cadangan DBKL berhubung pembinaan sekolah menegak setinggi antara 10 hingga 17 tingkat serta langkah memastikan kemudahan asas keselamatan di sekolah tersebut berfungsi dengan baik.

Kah Woh berkata, reka bentuk sekolah menegak perlu memenuhi prinsip sekolah hijau, mesra kurikulum, fleksibel dan berpaksikan elemen-elemen penting seperti keselamatan, daya tarikan serta kemudahan penyelenggaraan yang cekap.

Katanya, sekolah menegak merupakan pendekatan inovatif yang mengoptimumkan ruang fizikal secara menegak, terutama di kawasan bandar yang berdepan kekangan tanah namun mempunyai permintaan tinggi terhadap akses pendidikan.

“Bagi memperhalusi perincian reka bentuk dan pelaksanaan, KPM telah mengadakan sesi libat urus bersama Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), PLANMalaysia, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta wakil ibu bapa dan guru.

“Pendekatan ini meneliti aspek seperti keselamatan, kapasiti murid, akses untuk pelajar berkeperluan khas serta kesejahteraan emosi dan sosial murid,” ujarnya.

Tambah beliau, pelaksanaan projek sekolah menegak akan tertakluk kepada penilaian KPM dan agensi teknikal berkaitan terutama di kawasan yang mempunyai populasi melebihi satu juta orang.

“KPM komited untuk terus bersikap proaktif dan terbuka dalam mendepani cabaran pembangunan pendidikan di kawasan bandar menerusi kerjasama erat dengan pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan.

“Ini penting agar akses kepada pendidikan berkualiti tidak terjejas meskipun berdepan kekangan ruang fizikal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN