Kerajaan pertimbang gubal akta wajib daftar MyDigital ID

PARLIMEN: Kerajaan pertimbang gubal akta wajib daftar MyDigital ID

ZALIHA MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mempertimbang untuk menggubal satu akta khusus bagi mengawal selia dan memperkasa sistem MyDigital ID dalam usaha menangani keraguan orang ramai terhadap inisiatif tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, model pendaftaran secara sukarela yang digunakan ketika ini menjadi antara kekangan utama yang perlu ditangani.

“Buat masa ini, kerajaan sedang meneliti kemungkinan untuk menggubal Akta MyDigital ID termasuk menjadikan pendaftaran sebagai yang diwajibkan kepada semua rakyat,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (PN-Beluran) yang membangkitan kebimbangan orang ramai terhadap gangguan sistem autogate baru-baru ini mengenai inisiatif digital terutama membabitkan privasi dan keselamatan data.

Sementara itu, Zaliha berkata, sehingga suku kedua 2025, kira-kira 2.8 juta rakyat Malaysia telah mendaftar dengan MyDigital ID sekali gus meningkat sebanyak sejuta berbanding suku pertama 2025.

Katanya, jumlah itu dijangka terus meningkat dengan pengembangan ‘kes penggunaan’ bermaksud aplikasi atau perkhidmatan tertentu di mana MyDigital ID digunakan sebagai kaedah pengesahan identiti.

“MyDigital ID merupakan inisiatif pengenalan digital negara yang dibangunkan sejak 2016 bagi menyediakan kaedah pengesahan identiti dalam talian secara selamat dan sahih.

“Sistem itu dirancang untuk digunakan dalam urusan sektor awam dan swasta termasuk bagi transaksi digital,”ujarnya.

Zaliha berkata, kerajaan tidak menyimpan data peribadi pengguna, sebaliknya MyDigital ID menggunakan teknologi biometrik dan kriptografi bagi memastikan keselamatan dan mencegah sebarang kebocoran maklumat.

Kataya, pelbagai usaha sedang digerakkan bagi meningkatkan kadar penerimaan dan penggunaan platform tersebut.

“Kita galakkan kerjasama semua pihak termasuk sektor swasta untuk menjayakan pelaksanaan ini,” katanya.

Tambah beliau, jumlah integrasi antara aplikasi kerajaan dengan MyDigital ID meningkat secara signifikan dengan 82 sistem secara keseluruhannya dicatatkan sehingga kini.

“Ia membabitkan 35 sistem aplikasi kerajaan, 17 dalam pelaksanaan manakala 21 dalam perbincangan awal.

“Tujuh sistem aplikasi bukan kerajaan berjaya diintegrasi dan dua lagi sedang dilaksanakan, menjadikan jumlah keseluruhan integrasi adalah sebanyak 82 system iaitu peningkatan hampir dua kali ganda berbanding Mac lalu,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN