KUALA LUMPUR: Institusi Pengajian Tinggi (IPT) perlu menjalankan analisis keperluan termasuk kajian terhadap pasaran kerja dan kebolehpasaran graduan sebelum kelulusan penawaran program pengajian baharu kepada pelajar.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, keperluan itu adalah antara standard yang digariskan dalam Kod Amalan Akreditasi Program (COPPA) yang dibangunkan bagi memastikan semua program yang ditawarkan adalah berkualiti dan menepati kehendak semasa industri.
“Kajian ini penting untuk memastikan penawaran program pengajian tidak hanya berasaskan permintaan institusi, tetapi disandarkan kepada realiti sebenar pasaran pekerjaan. Hanya selepas itu barulah sesuatu program dipertimbang untuk diluluskan.
“Setelah program mula ditawarkan, ia tidak dibiarkan begitu sahaja. Kementerian melalui Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) akan memastikan semakan semula secara berkala dan penambahbaikan berterusan terus dilaksanakan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) berhubung penyelesaian isu ketidakpadanan kursus ditawarkan oleh IPTA dengan pasaran kerja terkini sehingga menyebabkan graduan terpaksa menerima kerja di luar bidang pengajian dengan gaji lebih rendah.
Menurut Mustapha, pihaknya turut memberi penekanan terhadap penglibatan industri dalam pembentukan kurikulum baharu dan penambahbaikan program sedia ada.
Katanya, kursus-kursus yang berada di bawah badan profesional juga perlu mendapat pengesahan Jawatankuasa Teknikal Bersama bagi memastikan kesesuaiannya dengan Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF).
“Kita juga melaksanakan program berasaskan industri seperti Work-Based Learning (WBL) dan model 2u2i (dua tahun di IPT dan dua tahun di industri) selain memperluas kerjasama strategik bersama agensi seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), TalentCorp, MDEC dan LinkedIn Malaysia.
“Ini antara langkah proaktif yang kita ambil bagi memastikan graduan IPT tidak terpinggir atau dibebani dengan isu bekerja di luar bidang pengajian serta menerima gaji yang tidak setimpal,” katanya. – UTUSAN