KUALA LUMPUR: Ibu bapa yang gagal mendaftarkan anak mereka ke sekolah menengah bakal dikenakan penalti di bawah peruntukan Rang Undang-Undang (RUU) Pendidikan (Pindaan) 2025.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, peruntukan itu bertujuan memastikan ibu bapa mematuhi kewajipan pendidikan wajib yang diperluas hingga ke peringkat menengah.
“Melalui pindaan ini, Seksyen 2 Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) akan dipinda bagi memasukkan pendidikan menengah sebagai sebahagian daripada pendidikan wajib.
“Seksyen 29A(2) pula menetapkan ibu bapa bertanggungjawab mendaftarkan anak mereka ke sekolah rendah seawal usia enam tahun dan memastikan mereka terus bersekolah sehingga tamat tempoh pendidikan wajib,” katanya ketika membentangkan RUU berkenaan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, hari ini.
Kah Woh berkata, Fasal 4 RUU turut memperkenalkan peruntukan baharu iaitu Seksyen 32A yang memberi kuasa kepada Menteri Pendidikan untuk menetapkan pendidikan menengah sebagai pendidikan wajib.
Seksyen itu juga memperuntukkan kuasa kepada menteri untuk memberikan pengecualian tertentu serta menggubal peraturan berkaitan pelaksanaannya termasuk penalti terhadap ibu bapa yang ingkar.
“Pelaksanaan penuh dasar itu dijangka memerlukan perbelanjaan tambahan oleh kerajaan, namun jumlah sebenar masih belum ditentukan.
“Bacaan kali kedua dan ketiga RUU berkenaan dijangka dilakukan dalam sesi persidangan Parlimen kali ini bagi mempercepatkan kelulusan,” katanya. – UTUSAN










