PARLIMEN: 8,575 kanak-kanak tiada dokumen terima pendidikan formal

PARLIMEN: 8,575 kanak-kanak tiada dokumen terima pendidikan formal

FADHLINA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 8,575 orang kanak-kanak yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri sedang menerima pendidikan formal di sekolah rendah dan sekolah menengah kerajaan serta sekolah bantuan kerajaan di seluruh negara sehingga 30 Jun 2025.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, jumlah itu menunjukkan komitmen Kementerian Pendidikan (KPM) dalam memastikan akses pendidikan tetap diberikan kepada golongan rentan termasuk mereka yang tidak mempunyai dokumen sah.

“Antara pendekatan terkini KPM untuk mengatasi isu ini adalah dengan bekerjasama bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Program Mekar Didik yang dilaksanakan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Penyerahan dokumen pengenalan diri kepada kanak-kanak yang dikenal pasti sudah dilaksanakan, antaranya melalui program Mekar Komuniti yang dilancarkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Pasir, Bandar Baharu, Kedah pada 20 November 2024,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web rasmi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) berhubung statistik terkini kanak-kanak pencari suaka, pelarian atau kanak-kanak tanpa negara yang telah berjaya menerima pendidikan formal sekolah rendah atau menengah, bukan hanya di Pusat Pembelajaran Alternatif (Alternative Learning Centres).

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, tiada pelajar berstatus pelarian atau pencari suaka yang diterima masuk ke sekolah kerajaan atau bantuan kerajaan setakat ini.

Namun begitu, akses pendidikan tetap diberikan kepada kanak-kanak tanpa dokumen melalui Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bil.1/2009.

SPI tersebut jelasnya membolehkan kemasukan ke sekolah kerajaan atau bantuan kerajaan dengan syarat salah seorang ibu atau bapa adalah warganegara Malaysia.

Pada masa sama, beliau menyeru kerjasama semua pihak termasuk Ahli Parlimen dan pemimpin masyarakat untuk menasihatkan rakyat supaya mendaftarkan perkahwinan dan kelahiran anak-anak mereka agar isu ketiadaan dokumen sah atau status kewarganegaraan tidak terus berlarutan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN