KUALA LUMPUR: Seramai 2,619 remaja dikenakan notis kompaun kerana terlibat dalam aktiviti merokok, manakala 27 lagi dikenakan tindakan kerana membeli produk vape secara haram.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, tindakan itu adalah sebahagian daripada langkah tegas Kementerian Kesihatan (KKM) bagi membendung penularan penggunaan rokok elektronik dalam kalangan remaja yang semakin membimbangkan.
“Isu penggunaan vape dalam kalangan remaja telah menjadi perhatian serius berikutan peningkatan kes yang dilaporkan sejak kebelakangan ini,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Parlimen, hari ini.
Menurut Dzulkefly, KKM turut melaksanakan pelbagai program intervensi melibatkan 230 murid sekolah rendah dan 44,211 pelajar sekolah menengah yang dikenal pasti terlibat dalam penggunaan vape dan merokok.
“Daripada jumlah pelajar sekolah menengah itu, seramai 36,870 telah menerima bantuan menerusi program intervensi berhenti merokok bagi membantu mereka menghentikan tabiat tersebut dan mengelakkan penggunaan vape pada masa hadapan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, KKM turut menyediakan perkhidmatan sokongan di 857 lokasi Klinik Berhenti Merokok (KBM) dan 111 lokasi OSCA (Operasi Selamat Cegah Asap) bagi membantu individu yang mahu berhenti merokok.
“Usaha ini penting bagi memastikan generasi muda negara terlindung daripada kesan buruk merokok dan penggunaan vape.
“Kerjasama ibu bapa, pihak sekolah dan masyarakat amat penting dalam membendung gejala ini daripada terus menular,” katanya. – UTUSAN









