Pantomim 'Sang Beret Merah' nahas FRU undang sebak - Utusan Malaysia

Pantomim ‘Sang Beret Merah’ nahas FRU undang sebak

PEMENTASAN pantomim 'Sang Beret Merah' tragedi nahas mengorbankan sembilan anggota FRU pada Mei lalu diadakan sempena sambutan Hari Pahlawan 2025 peringkat negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pementasan pantomim khas ‘Sang Beret Merah’ mengenai kemalangan yang mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) pada Mei lalu yang diadakan sempena sambutan Hari Pahlawan 2025 peringkat negeri Perak mengundang suasana pilu di hati para tetamu yang berada di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Lakonan menyentuh hati daripada pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Persatuan Deklamasi Lakon Perak itu dipersembahkan di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Persembahan menyayat hati itu menyaksikan ramai antara tetamu gagal menahan sebak ketika persembahan berlangsung.

Malah rata-rata mereka mengalirkan air mata apabila menyaksikan tayangan montaj yang memaparkan sketsa tugasan FRU selain video pendek sebelum nahas berlaku.

Rakaman asal itu mempamerkan keadaan di dalam trak FRU dengan anggota dilihat santai berborak dengan ada antara mereka tersenyum memandang kamera.

Persembahan pantomim itu diiringi pendeklamasian sajak oleh Timbalan Yang Dipertua Majlis Kebudayaan Negeri Perak, Azmi Ismail bersama Asisten Superintenden Samsudin Hussin dan Sarjan Mejar Detektif Bashira Sharif dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Dalam kejadian pada pukul 9 pagi 13 Mei lalu, kenderaan membawa 18 anggota FRU Unit 5 Sungai Senam dirempuh lori muatan batu yang didakwa mengalami kegagalan fungsi stereng.

Kemalangan di Kilometer 15, Jalan Sungai Manik di Teluk Intan itu mengakibatkan lapan anggota FRU maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Teluk Intan.

Mereka yang maut ialah S. Perumal, 44; Mohd. Roslan Abdul Rahim, 46; Mohd. Pozli Jaudin, 41; Nurit Pandak, 34; Amiruddin Zabri, 38; Mohamad Hilmi Mohd. Azlan, 38; Muhamad Akmal Muhamad, 35; Damarrulan Abdul Latif, 33, dan Akmal Wafi Annuar, 28.

Kemalangan itu berlaku ketika trak dinaiki kesemua mangsa bersama enam kenderaan FRU dalam konvoi perjalanan pulang ke Ipoh setelah selesai penugasan perayaan Chitra Pournami di daerah Hilir Perak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN