KUALA LUMPUR: Palestin menuntut sokongan lebih padu dan menyeluruh daripada Persidangan Kerjasama antara Negara-negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) agar kekejaman dapat dihentikan dengan segera.
Menteri Perancangan dan Kerjasama Antarabangsa Palestin, Dr. Estephan Salameh berkata, pengukuhan sokongan itu adalah penting bagi mewujudkan solidariti politik lebih kukuh di tengah-tengah kekejaman yang semakin meningkat.
“Kami mahu kumpulan (CEAPAD) ini menjadi lebih daripada sekadar platform pembangunan. Kami mahu ia menjadi suara untuk keadilan dan kebebasan untuk rakyat Palestin.
“Kami memerlukan sokongan dalam menamatkan penjajahan dan menubuhkan sebuah negara Palestin yang merdeka,” katanya di sini, semalam.
Edisi keempat CEAPAD menumpukan pada pembinaan kapasiti, pembinaan semula infrastruktur kritikal di Palestin dan penyampaian bantuan kemanusiaan komprehensif yang berkesan.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan bersama oleh Dr. Salameh bersama Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Luar Jepun, Takeshi Iwaya.
Mesyuarat CEAPAD IV diadakan bersempena dengan Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN (AMM) Ke-58 dan mesyuarat berkaitan di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia.
CEAPAD kini dianggotai Jepun, Palestin, Malaysia, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Singapura, Korea Selatan, Thailand dan Vietnam.
Sementara itu, Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali berkata, CEAPAD sudah berkembang menjadi platform bermakna untuk perpaduan dan penjajaran politik dalam kalangan negara di Asia Timur dan Asia Tenggara.
“CEAPAD mewakili gabungan unik beberapa negara yang bersedia menyokong pembinaan negara Palestin bukan sahaja menerusi bantuan dan pembangunan kapasiti tetapi turut mengesahkan bahawa rakyat Palestin harus diberi hak sepenuhnya untuk menentukan nasib dan martabat negara sendiri, hak kebebasan nasional dan kedaulatan serta hak kebebasan bergerak” katanya. – UTUSAN










