‘Pak Aji’ Pasha ajar pikat wanita di konsert Ungu - Utusan Malaysia

‘Pak Aji’ Pasha ajar pikat wanita di konsert Ungu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“JIKA ada sesiapa masih bujang hari ini, perlu usahakan sesuatu, jangan guna cara memikat yang sama.”

Vokalis kumpulan Ungu, Pasha, nampaknya telah membuktikan khabar angin bahawa diriya memang seorang kelakar dan gemar berjenaka sepanjang Konsert 29th Anniversary – Symphony of Ungu yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), baru-baru ini.

Sebelum bernyanyi, pasti ada sahaja ucapan lucu yang keluar daripada mulutnya. Paling mencuit hati apabila Pasha atau Sigit Purnomo Syamsuddin Said, 45, sempat mengajar pengunjung yang masih bujang cara memikat wanita kerana menurutnya, kita sudah tidak banyak masa. Oleh itu, lebih baik jatuh cinta sekarang.

“Kalau di pejabat, jangan guna cara yang sama untuk mendapatkan kekasih. Bila sudah sampai waktu rehat, pergilah berjumpa dengan si dia dan tanya ‘mahu pergi makan di mana?’. Sekiranya dia jawab ‘mamak’, kita kena respons ‘sama, saya juga mahu ke mamak, apa kata makan bersama’.

“Apa yang paling penting, nasihat saya cuma satu. Jangan pernah beritahu kawan baik kita di pejabat siapa gadis yang kita suka. Itu bahaya. Bukan apa, silap hari bulan, kawan kita yang ambil (caras) dahulu.

“Apapun yang anda lakukan, ingatlah bahawa cinta yang ada jangan hanya disimpan dalam hati,” katanya diiringi gelak ketawa pengunjung. Pasha kemudian menyanyikan salah satu daripada lagu hit mereka, Cinta Dalam Hati.

Bukan itu sahaja, Pasha rupanya baru sahaja selesai menunaikan ibadah haji bersama isterinya, Adelia. Namun begitu, dia terharu kerana dapat memenuhi hajat peminat di Malaysia yang mahu melihatnya beraksi di konsert pada tahun ini.

“Ya saya botak kerana baru pulang haji. Benar, kini saya ‘Pak Aji’. Sebelum ini dari Arab Saudi saya dimaklumkan jemaah haji terbaik datang dari Malaysia. Saya perlu perlu ucap tahniah jika berita itu benar.

“Terima kasih penganjur memberi kepercayaan kepada Ungu, terima kasih juga kawan-kawan Malaysia yang masih sudi datang hingga tiket habis malam ini,” ujar Pasha.

Menerusi konsert malam itu, Ungu yang dianggotai Pasha (Vokalis), Enda (Gitar), Oncy (Gitar), Makki (Bes) dan Rowman (Dram) menghadiahkan 17 lagu popular mereka buat peminat antaranya Aku Tahu, Seperti Mati Lampu, Kekasih Gelapku dan Demi Waktu.

Bukan itu sahaja, konsert anjuaran AVG Entertainment itu diserikan dengan kehadiran penyanyi jemputan Ayda Jebat. Menurut Pasha, Ayda rela hati bernyanyi bersama-sama pada malam itu walaupun tidak dibayar.

“Ya, sebenarnya saya peminat kumpulan Ungu. Semoga semua suka mendengar persembahan kami malam ini,” kata Ayda yang menyumbang dua buah lagu iaitu Tercipta Untukku dan Bismillah Cinta duet bersama Pasha.

Dalam pada itu, Ungu turut memberikan penghormatan kepada pemain keyboard, Gatot Kies atau Mas Gatz yang meninggal dunia dua bulan lalu menerusi sesi tribute.

Dalam sesi itu, Ungu memainkan video hitam putih khas Mas Gatz sambil menyanyikan lagu Bila Tiba dan Andai Ku Tahu.

Hadiah Pasangan Terbaik juga dipilih secara rawak dalam kalangan pengunjung. Pasangan bertuah menerima sejambak bunga mawar dan nyanyian lagu Ku Ingin Selamanya oleh Ungu.

Konsert 29th Anniversary-Symphony of Ungu yang menerima sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), diketuai JP Denny dari Indonesia sebagai Pengarah Muzik dengan iringan 14 pemuzik Malaysia.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN