KUALA LUMPUR: Kumpulan 4U2C mendesak komposer Man Senoi berhenti mendagangkan di platform digital lagu-lagu yang mengandungi nyanyian kumpulan itu.
Salah seorang anggotanya, Datuk AC Mizal mendakwa desakan itu berikutan tindakan komposer berkenaan yang menyalahi undang-undang kerana mendagangkan lagu-lagu kumpulan itu di platform berkenaan tanpa persetujuan penyanyi asal.
“Berdasarkan undang-undang, pencipta harus mendapatkan persetujuan penyanyi sebelum mendagangkan lagu di platfrom digital. Tapi hakikatnya kami tidak pernah dimaklumkan tentang penjualan lagu-lagu kami di platform berkenaan.
“Kami ada menyimpan bukti yang menunjukkan lagu-lagu 4U2C dijual dalam platform Spotify, Amazon Music dan lain-lain lagi.
“Kami faham dia mahu menjana pendapatan, tetapi tindakannya yang tidak memaklumkan kami mengenai perkara itu menunjukkan dia tidak faham undang-undang muzik di Malaysia.
“Apa pun kami tutup mata, tidak merancang untuk menuntut sebahagian pendapatan yang dia perolehi hasil jualan lagu 4U2C di platform itu. Cuma kami desak dia padamkan suara-suara kami dalam lagu-lagu itu dan juallah dalam bentuk instrumental,” katanya dalam sidang media yang diadakan semalam.
4U2C pada sidang media tersebut mengesahkan telah menerima permit untuk menganjurkan konsert We 4U2C Live In Concert pada September ini.
Pada masa yang sama, kumpulan itu juga menegaskan tiada halangan untuk mereka, dalam konsert itu, menyanyikan lagu-lagu yang pernah mereka rakamkan dahulu meskipun tanpa persetujuan pencipta asal.
Terdahulu penganjuran konsert terbabit hangat diperdebatkan apabila Man Senoi dan isterinya, Mama Rap bercadang untuk mengambil tindakan sekiranya konsert itu diteruskan tanpa persetujuannya sebagai pencipta lagu.- UTUSAN