KUALA LUMPUR: Penyanyi Indonesia, Bernadya tidak dapat menahan tangisan ketika ‘Konsert Untungnya Untungnya Malaysia Tour’ di Zepp Kuala Lumpur pada Ahad.
Semasa menyanyikan lagu bertajuk ‘Masa Sepi’, Bernadya atau Bernadya Ribka Jayakusuma, 21, dihujani emosi apabila terkenang ahli pasukannya yang telah menghembuskan nafas terakhir dua hari sebelum berlepas ke Kuala Lumpur.
“Sepatutnya ada salah seorang daripada anggota pasukan kami namanya Bung Norgen ikut serta, tapi dua hari lalu Allahyarham dipanggil Tuhan. Kita doakan sama-sama semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan yang baik.
“Kalau kawan-kawan nak tahu, Bung sudah sangat bersemangat siapkan passport untuk ikut ke Kuala Lumpur,” katanya sambil menyeka tangisan dengan tisu di atas panggung.
Bagaimanapun, penyanyi asal Surabaya, Indonesia itu dilihat mengumpul kekuatan menyambung nyanyiannya menerusi lagu ‘Sinyal-Sinyal’ selepas mendapat tepukan semangat daripada pengunjung.
Dalam pada itu, Bernadya memaklumkan bahawa konsert jelajah ini merupakan penutup kepada era album ‘Untungnya Hidup Harus Tetap Berjalan’ yang telah melonjakkan namanya hingga ke Malaysia.
“Terima kasih sudah datang meluangkan waktu menonton saya di konsert ini, semoga teman-teman seronok malam ini.
“Rangkaian konsert jelajah ini merupakan penutup kepada era album pertama, saya akan cuba meninggalkan album ini yang saya tahu ia memiliki jasa besar sehingga membawa saya bernyanyi ke Kuala Lumpur.
“Saya mahu tunjuk, bahawa saya juga sedia melepaskan era ini dengan imej sedih. Mungkin satu saat, saya akan cuba sesuatu yang baru. Jadi malam ini, mari kita merayakan konsert ini bersama-sama,” katanya.
Menerusi konsert malam tadi, Bernadya menyanyikan 17 lagu hitsnya antaranya Satu Bulan, Kata Mereka Ini Berlebihan, Apa Mungkin dan Terlintas.
Turut hadir memeriahkan persembahan malam itu ialah penyanyi Indonesia, Adrian Khalif yang turut menyanyikan sembilan buah lagu termasuk ‘Asumsi’ duet bersama Bernadya.
Terdahulu, nama Bernadya mula meniti di bibir pendengar Malaysia apabila lagu nyanyiannya mula menjadi tular di aplikasi TikTok. – UTUSAN