Op Sawit: Polis tahan dua lelaki miliki minyak sawit tanpa lesen

Op Sawit: Polis tahan dua lelaki miliki minyak sawit tanpa lesen

tahanan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Satu aktiviti penyelewengan minyak sawit tumpas apabila polis menahan sebuah lori yang membawa muatan bahan komoditi itu di sebuah kilang di Klang, Selangor, Jumaat lalu.

Aktiviti itu dibongkar menerusi Op Sawit yang dijalankan Unit Risikan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman bersama pihak Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, sebuah lori disyaki terlibat dalam kegiatan ini telah dikesan kira-kira pukul 4 petang di sekitar Klang. 

Menurutnya, lori terbabit telah diekori hingga ke sebuah premis kilang di Puchong.

“Pasukan serbuan telah menahan pemandu lori terbabit iaitu lelaki tempatan berusia 36 tahun serta seorang lelaki berusia 44 tahun yang dipercayai penjaga premis.

“Pemeriksaan ke atas lori terbabit menemui empat tong IBC disyaki berisi kira-kira 4,000 liter minyak sawit selain satu unit pam,” katanya hari ini.

Kata beliau, pemeriksaan lanjut di dalam premis telah menemukan satu tangki penapis disyaki berisi minyak sawit terpakai seberat kira-kira 500 kilogram, dua unit pam serta hos selain lima tangki disyaki minyak sawit mentah dengan anggaran isi padu 13,500 liter.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki terbabit ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan memiliki keluaran minyak sawit tanpa lesen sah.

“Kesemua rampasan bernilai RM212,200 telah dibawa ke Pejabat MPOB Wilayah Selatan untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.

Jelasnya, objektif utama operasi ini adalah untuk membanteras serta mengambil tindakan undang-undang terhadap pesalah yang melakukan aktiviti penyeludupan minyak mentah sawit menggunakan kenderaan perdagangan di atas jalan raya.

Kes disiasat di bawah Kaedah 5 Peraturan-Peraturan LMSM (Pelesenan) 2005 dan Akta Kawalan Bekalan 1961. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN