KOTA TINGGI: Pelantikan hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi tertakluk kepada Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, proses itu memerlukan Perdana Menteri menasihatkan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.
Katanya, Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009 bukan satu peruntukan undang-undang yang mengikat dalam menentukan pelantikan hakim.
“Akta JAC lebih kepada menapis, menilai dan mengatur (cadang) nama-nama calon, tetapi ia bukan akta finalisation (yang mengikat). Cadangan itu tidak mengikat.
“Nama-nama yang disaring JAC tetap perlu melalui prosedur di bawah Perkara 122B. Kalau niat mahu proses JAC itu mengikat, maka Perlembagaan perlu dipinda,” katanya pada sidang akhbar Mesyuarat Agung UMNO Bahagian Pengerang di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Sementara itu, Azalina meminta semua pihak merujuk hansard Dewan Rakyat ketika Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz memegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Undang-Undang.
Ketika itu katanya, Mohamed Nazri memaklumkan bahawa Akta JAC itu lebih kepada pentadbiran dan tidak mengikat.
“Kalau niat hendak mengikat, kena dibuat pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan, tetapi isunya Perkara 122B masih tidak dipinda.
“Perkara berkenaan tidak menyebut bahawa adanya Akta JAC yang wajib mengikat. Jadi jika kita tafsirkan undang-undang ini, dia membezakan antara duanya (Akta JAC dan Perkara 122B),” katanya.
Dalam perkembangan lain, Azalina dalam ucapannya berkata Majlis Peguam Malaysia mempunyai hak dan tidak boleh dihalang untuk berarak berhubung badan kehakiman yang dijadual diadakan esok.
Katanya semua pihak mempunyai hak berhimpun atau berarak mengikut peruntukan yang dibenarkan Perlembagaan.
“Bagi saya itulah demokrasi. Itu hak mereka (Majlis Peguam) jika mereka nak berarak. Namun saya pasti selaku peguam yang kebanyakannya profesional, mereka maklum tentang Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan dan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009.
“Akta ini lebih kepada cadangan-cadangan nama (hakim), dan bukan ‘finalization’ (kata pemutus),” katanya.
Selasa lalu, Majlis Peguam Malaysia dilaporkan akan menganjurkan Perarakan Demi Mempertahankan Kebebasan Kehakiman (Walk to Safeguard Judicial Independence) yang dijadualkan diadakan esok.
Presidennya, Mohamad Ezri Abdul Wahab dilaporkan berkata, badan berkenaan akan menyerahkan memorandum dengan empat tuntutan kepada Pejabat Perdana Menteri.-UTUSAN.










