PUTRAJAYA: Walaupun berada di penjara, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masih boleh menjalankan usaha wajar dalam memastikan kewujudan Titah Adendum berhubung perintah tahanan di rumah.
Menurut Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar, Najib masih dibenarkan untuk menggunakan semua kemudahan untuk menghubungi pihak berkuasa meskipun ditahan di Penjara Kajang.
Katanya, bekas Ahli Parlimen Pekan itu gagal menunjuk bahawa segala usaha telah dilakukan bagi mendapatkan bukti kewujudan Titah Adendum itu sewaktu di peringkat Mahkamah Tinggi.
“Anak lelaki responden, Datuk Mohd. Nizar Najib yang juga merupakan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang. Beliau boleh mendapatkan dokumen tambahan itu melalui usaha wajar yang munasabah memandangkan kehadirannya yang kerap dalam mesyuarat dan pertemuan dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang.
“Kegagalan mematuhi syarat ini menjadikan permohonan mereka untuk mengemukakan bukti baharu tidak kukuh. Beliau yang mendakwa kewujudan dokumen tambahan itu mestilah membuktikannya,” ujar Mohd. Dusuki.
Selain itu, Titah Adendum yang cuba dimasukkan sebagai bukti baharu itu juga tidak mempunyai cop mohor atau tandatangan Yang di-Pertuan Agong, tidak dialamatkan kepada Pengarah Penjara dan tidak mempunyai tanda tangan Menteri Wilayah Persekutuan.
“Format dan struktur Titah Adendum itu juga berbeza dengan Perintah Pembebasan Awal. Ia juga tidak menyatakan bahawa titah tersebut dibuat atas nasihat Lembaga Pengampunan sebagaimana diperuntukkan dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan,” kata Mohd. Dusuki.
Mohd. Dusuki berkata demikian pada prosiding rayuan Peguam Negara untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman berhubung Titah Adendum di Mahkamah Tinggi dan mengemukakan bukti baharu.
Bukti baharu itu membabitkan afidavit anak Najib iaitu Mohamad Nizar yang memasukkan sesalinan Titah Adendum yang diterimanya dari Pejabat Sultan Pahang selepas mendapat perkenan baginda.
Sementara itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib sebaliknya menghujahkan, Peguam Negara yang mempunyai akses dan kuasa untuk mengesahkan Titah Adendum dengan Istana Pahang.
Beliau berkata, Jabatan Peguam Negara sudah pun mengetahui mengenai titah tersebut kerana ia telah dialamatkan secara langsung kepada Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh.
“Kemudian, melalui sepucuk surat bertarikh 13 Disember 2024 (di luar tempoh yang dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan), Peguam Negara telah menulis kepada Mahkamah Rayuan untuk memohon lanjutan masa bagi menjawab afidavit responden.
“Tambahan pula, perayu telah memilih untuk campur tangan dengan mengemukakan satu afidavit bertarikh 3 Januari lalu yang tidak mengesahkan mahupun menafikan ketulenan salinan perintah tambahan berkenaan yang dikemukakan responden melalui afidavit Nizar,” kata Muhammad Shafee.
Pada 28 April lalu, Mohd. Dusuki berjaya mendapat kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk merujuk beberapa persoalan antaranya sama ada wujud sebarang kewajipan di bawah undang-undang untuk memaksa mana-mana pihak berkuasa mengesahkan kewujudan dan memberikan salinan dokumen kepada pihak pemohon, terutamanya ke atas Peguam Negara yang hanya bertindak atas kapasitinya.
Selain itu, Peguam Negara memohon Mahkamah Persekutuan untuk memutuskan sama ada pihaknya boleh mengemukakan keterangan baharu yang akan memberikan kesan undang-undang terhadap keputusan Lembaga Pengampunan yang boleh dicabar secara langsung atau tidak langsung.
Pada 6 Januari 2025, Mahkamah Rayuan memberikan kebenaran kepada Najib untuk memulakan semakan kehakiman selepas mendapati tiada mana-mana responden yang dinamakan dalam permohonan memfailkan sebarang afidavit menafikan kewujudan perintah tambahan berkenaan.
Dalam semakan kehakiman itu, Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Hujahan yang didengar panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim yang bersidang bersama Datuk Zabariah Mohd. Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah pada 9 Julai ini. – UTUSAN