KUCHING: Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan tidak menolak kemungkinan wujud orang dalam yang memudahkan penyeludupan masuk dadah melalui lapangan terbang di Sarawak.
Katanya modus operandi itu kini dalam risikan pihaknya, bagi memerangi sindiket penyeludupan dadah yang menjadikan Sarawak sebagai transit pengedaran dadah sehingga ke pasaran antarabangsa.
“Kita tidak menolak kemungkinan ada juga orang dalam yang memudahkan perkara ini, yang mana mendapat perhatian pihak saya untuk siasat lebih lanjut.
“Sebab itu risikan pihak kami masih berjalan macam mana benda ini boleh terlepas.
“Ini bukan kali pertama dadah dibawa masuk melalui lapangan terbang ke Kuching..masih berlaku dan kita akan tingkatkan pengawasan dalam perkara ini,” katanya pada sidang media kejayaan JSJN dalam menumpaskan sindiket pengedaran syabu bagi pasaran Sarawak yang bernilai RM3.07 juta di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, hari ini.
Selain itu, Hussein berkata pihaknya juga sedang menjalankan siasatan terperinci terhadap kawalan kemasukan bagasi atau sistem kurier di lapangan terbang di negeri ini, yang disifatkannya berlaku kelompangan sehingga membolehkan dadah yang diseludup terlepas dengan mudah.
Katanya salah satu sebab adalah kekurangan aset, yang memerlukan pertambahan sama ada dari segi anjing pengesan dadah K9 atau mesin imbasan bagi mengesan dadah yang disembunyikan dalam mana-mana bungkusan kurier atau bagasi.
“Kalau boleh kita nak sekat 100 peratus tetapi serbuan dan juga tangkapan ini menunjukkan atau membuktikan ada kelompangan dalam proses saringan di lapangan terbang.
“Maksudnya ada ruang untuk terlepas sama ada daripada bagasi yang di ‘check-in’ ataupun dihantar secara kurier,” katanya.
Sementara itu, Hussein berkata pihaknya telah berjaya menumpaskan sindiket pengedaran syabu bagi pasaran Sarawak yang dianggarkan seberat 83 kilogram bernilai RM3.07 juta.
Katanya, tangkapan itu hasil serbuan dan penahanan ke atas dua lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 25 hingga 27 tahun di kawasan Kota Sentosa kira-kira pukul 8.50 malam, 19 Julai lalu.
Menjelas lanjut, beliau berkata pemeriksaan di dalam kereta yang digunakan suspek telah menjumpai satu beg dan tiga kotak, yang di dalamnya mengandungi 80 bungkusan berwarna hijau bertulisan Guanyinwang, yang mana setiap satu peket berisi syabu.
“Modus operandi sindiket ini ialah menggunakan kereta untuk menghantar dadah yang ditempah oleh pembeli ke satu lokasi dan letakkan kereta di tempat tersebut tanpa mengunci pintu kereta.
“Pembeli sendiri akan datang mengambil dadah di dalam kereta tersebut. Sindiket ini dipercayai aktif sejak awal tahun 2025,” katanya.
Hussein berkata berdasarkan risikan, pihaknya percaya bekalan dadah itu diseludup dari Semenanjung Malaysia melalui laluan udara ke Sarawak dan akan turut diedarkan ke Kalimantan, Indonesia.
Katanya kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula 21 hingga 27 Julai ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan, boleh dijatuhi hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan. – UTUSAN










