MOT beri peluang terakhir kepada Maxim, InDrive

MOT beri peluang terakhir kepada Maxim, InDrive

ANTHONY Loke Siew Fook bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan Kedah, Dzowahir Ab. Ghani ketika melancarkan Program SBST Kota Setar atau Bas.My Kota Setar di Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kementerian Pengangkutan (MOT) memberi peluang terakhir kepada dua syarikat pengendali e-hailing, Aist Malaysia Sdn. Bhd. (Maxim) dan ID Applications Sdn. Bhd. (Indrive) untuk terus beroperasi di negara ini.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, kedua-dua syarikat itu kini berada di bawah tempoh pemantauan selama tiga bulan dan dibenarkan terus beroperasi selepas membuat rayuan.

Katanya, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sudah mengeluarkan Notis Pembatalan Lesen Perniagaan Pengantaraan (LPP) kepada kedua-dua pengendali itu kerana tidak patuh dalam aspek keperluan Permit Kenderaan E-Hailing (EVP).

“Mana-mana tindakan yang diambil terhadap mana-mana syarikat pengendali mereka boleh buat rayuan, jadi mereka buat rayuan kepada Kementerian Pengangkutan dan kita pertimbangkan.

“Biasanya untuk kesalahan pertama kita bagi peluang mereka tambah baik, tapi sekiranya mereka melakukan lagi kesalahan itu saya bagi amaran tegas lesen bukan sahaja digantung tapi dibatalkan, sebab itu kita bagi tiga bulan tempoh percubaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti (SBST) Kota Setar atau Bas.My Kota Setar, hari ini.

Anthony Loke berkata, beliau tidak memandang ringan kesalahan pemandu kedua-dua syarikat itu yang beroperasi tanpa EVP, namun akan menimbulkan masalah kepada penumpang sekiranya terus membatalkan lesen mereka.

“Kita mengambil kira juga sebab ada pemandu-pemandu dalam kedua-dua aplikasi ini dan juga ada pilihan kepada rakyat sebab m ada beberapa negeri yang memang ramai juga pengguna aplikasi itu. 

“Jadi kalau kita tutup terus tanpa memberikan satu peluang mereka menambahbaik maka ada penumpang yang akan membuat aduan, biasalah apa sahaja keputusan sudah tentu ada pihak yang setuju dan tak setuju,” ujarnya.

Sementara itu, MOT menyerahkan kepada pihak polis berkaitan siasatan kemalangan maut membabitkan Bas.My Kota Setar di Kota Sarang Semut, di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, pihaknya hanya membantu dari segi siasatan teknikal, manakala sama ada pemandu itu cuai atau tidak dan akan didakwa atau sebaliknya terpulang kepada siasatan polis yang seterusnya mengemukakan perkara itu kepada Jabatan Peguam Negara.

“Sudah tentu kita mensyaratkan syarikat-syarikat bas ini sentiasa mematuhi peraturan dari segi kelajuan, latihan pemandu yang telah pun diperkenalkan kepada pengendali syarikat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN