PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang baharu, Datuk Seri Shuhaily Mohd. Zain memulakan tugas rasminya di jabatan itu, pagi ini.
Sebelum memasuki pejabatnya di Aras 8, Setia Perkasa 8, Kompleks Setia Perkasa, Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, Mohd. Shuhaily terlebih dahulu mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Awang Alik Jeman.
Selepas itu, beliau kemudian mengimbas kad perakam waktu pukul 9.15 pagi di pejabatya sebelum menurunkan tandatangan pada buku pelawat.
Terlebih dahulu, Mohd. Shuhaily turut berkesempatan menyantuni pengamal media yang hadir membuat liputan hari pertamanya sebagai Ketua Pengarah AKPS.
Beliau kemudian bergerak ke bilik mempengeruskan taklimat pertamanya sebagai Ketua Pengarah AKPS bersama barisan kepimpinan agensi itu.
Mohd. Shuhaily sebelum ini adalah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan kemudian dilantik memegang jawatan Ketua Pengarah AKPS selama dua tahun.
Beliau mempunyai pengalaman selama 28 tahun dalam bidang kepolisan selain memainkan peranan penting dalam pelbagai operasi keselamatan dalam negeri, risikan, siasatan jenayah dan banteras jenayah. – UTUSAN










