KUALA LUMPUR: Seramai 36 ahli Gerakan Militan Radikal Bangladesh (GMRB) yang ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini dikesan masuk ke negara ini secara sah untuk bekerja dalam pelbagai sektor sebelum direkrut menyertai kumpulan ekstremis terbabit.
Dalam operasi bermula 28 April hingga 21 Jun lalu, kesemua individu termasuk Ketua Kumpulan GRMB berusia 25 hingga 35 tahun itu ditahan dalam tiga operasi sekitar Selangor dan Johor.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, siasatan polis mendapati kumpulan itu tidak menjadikan Malaysia sebagai negara transit atau sasaran, namun mereka terpengaruh dengan fahaman radikal Islamic State (IS).
Katanya, mereka memasuki ke negara ini untuk mencari peluang pekerjaan khususnya dalam sektor buruh seperti kilang, tapak pembinaan dan perkhidmatan.
“Kumpulan itu mula menyebarkan ideologi kumpulan pengganas Islamic State kepada komuniti migran terutama warga Bangladesh, menggunakan platform media sosial dan aplikasi pesanan.
“Malaysia tidak menjadi sasaran atau lokasi transit kumpulan ini, sebaliknya hanya destinasi kerja dalam sektor buruh seperti kilang, tapak pembinaan dan perkhidmatan.
“Ketika berada tempoh berada dan bekerja di negara ini, sebahagian daripada mereka terpengaruh dengan fahaman radikal yang dibawa dari negara asal dan luar negara,” katanya dalam sidang akhbar khas di Bukit Aman di sini hari ini.
Mohd. Khalid berkata, siasatan pihaknya mendapati akaun Facebook yang aktif menyebarkan propaganda IS menggunakan alamat IP di Malaysia dan dikendalikan warga Bangladesh.
Katanya, ia sekali gus membawa kepada penahanan seramai enam individu di sekitar Selangor pada 28 April lalu.
“Hasil soal siasat turut mendedahkan kewujudan GMRB yang berpangkalan di Johor.
“Pada 7 Mei lalu, kita menahan seramai 14 individu termasuk ketua kumpulan ditahan di Johor manakala 16 lagi ditahan pada 19 hingga 21 Jun lalu,” ujar beliau.
Menurutnya, daripada jumlah itu, lima individu sudah dituduh di bawah Bab 6A Kanun Keseksaan atas penyertaan dalam organisasi pengganas dan menyebarkan fahaman ekstremis.
“Seramai 15 individu diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk diusir, manakala 16 lagi masih dalam tahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi siasatan lanjut,” katanya.
Menurutnya, PDRM akan bekerjasama dengan pihak berkuasa di Bangladesh dan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk siasatan lanjut.
Kata beliau, operasi itu merupakan usaha berterusan PDRM untuk memastikan Malaysia tidak dijadikan tapak subversif elemen radikal, terutamanya melibatkan warga asing yang menyusup ke dalam komuniti migran dan masyarakat umum bagi menyebarkan fahaman ekstremis.
“PDRM ingin menegaskan bahawa keselamatan negara adalah keutamaan dan tidak akan dikompromi.
“Segala tindakan yang digerakkan adalah demi melindungi rakyat dan negara daripada sebarang unsur keganasan,” katanya.-UTUSAN