KUALA LUMPUR: Satu mesyuarat khas akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan isu pelebaran jalan dan penutupan jambatan kecil yang menghubungkan laluan utama di kawasan berdekatan Pangsapuri Anggerik E2, Desa Pandan.
Mesyuarat itu bakal melibatkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Bandar Kuala Lumpur, Ahli Parlimen Titiwangsa serta pasukan teknikal bagi memuktamadkan langkah penyelesaian jangka panjang.
Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, tindakan segera diperlukan susulan aduan penduduk berhubung isu keselamatan dan kesesakan trafik di kawasan berkenaan.
“Jambatan kecil itu dibina untuk motosikal dan pejalan kaki sahaja, namun kerap dilalui lori dan kenderaan berat.
“Akibatnya, beberapa insiden kemalangan telah berlaku, termasuk yang meragut nyawa,” katanya selepas sesi mesyuarat bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd Sharif.
Menurut Johari, kawasan tersebut menempatkan perumahan kos rendah dan sekolah berhampiran, menyebabkan jumlah pejalan kaki dan pelajar yang menggunakan laluan itu amat tinggi.
“Kita perlu cari penyelesaian yang menyeluruh dan berkesan. Ia tidak boleh dilengah-lengahkan kerana membabitkan nyawa dan keselamatan penduduk,” katanya.
Tambahnya, DBKL bersetuju melebarkan jalan utama sebagai langkah jangka panjang selain menutup sepenuhnya jambatan tersebut untuk mengelak risiko kemalangan berulang.
“Dalam masa sama, pihak DBKL juga akan melaksanakan penstrukturan semula gerai-gerai penjaja di sekitar kawasan tersebut agar lebih tersusun, selamat dan mengikut peraturan sedia ada.
“Penjaja tidak akan diusir, sebaliknya akan dibantu mendapatkan lesen serta disesuaikan dengan pelan pembangunan bandar yang lebih sistematik,” katanya.
Johari berkata, sebarang projek naik taraf yang melibatkan kawasan padat penduduk perlu dilakukan secara berhemah tanpa mengabaikan keperluan golongan kecil seperti penjaja.
“Saya mahu semua agensi duduk semeja dan selesaikan isu ini dengan satu pelan tindakan tuntas. Kita tidak mahu pelaksanaan yang tergantung,” katanya. – UTUSAN










