MBI nafi tanam hidup-hidup anjing terbiar - Utusan Malaysia

MBI nafi tanam hidup-hidup anjing terbiar

SANDREA Ng Shy Ching (tengah) dan Ahmad Zaiyadi Sudin (dua dari kanan) dalam sidang akhbar mengenai dakwaan anjing terbiar ditanam hidup-hidup ketika proses pelupusan haiwan tersebut di Ipoh hari ini. - UTUSAN/FADZIL ZAINOL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menafikan anjing terbiar yang ditangkap kemudiannya ditanam hidup-hidup ketika proses pelupusan haiwan seperti yang didakwa dalam media sosial.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan dan Keselamatannya, Ahmad Zaiyadi Sudin berkata, semua haiwan tersebut melalui proses  put to sleep (PTS), iaitu pelupusan secara berperikemanusiaan sebelum tanam dan bertepatan dengan prosedur operasi standard.

Katanya, haiwan tersebut melalui proses berkenaan selepas ditangkap atas aduan orang awam dan tiada tuntutan dilakukan oleh mana-mana pihak selepas tiga hari.

“Kebanyakan aduan mengenai anjing terbiar ini adalah berkaitan kes pengadu dikejar atau digigit. Kalau didakwa ditanam hidup-hidup, anjing itu pasti akan lari semasa proses dilakukan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, tular dalam media sosial semalam kononnya anjing liar tersebut dibawa ke suatu tempat dan didakwa ditanam hidup-hidup, sekali gus mengundang kritikan ramai individu termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) haiwan.

Ahmad Zaiyadi mengesahkan kandungan video tular tersebut yang mungkin diambil menggunakan dron, namun mempertahankan bahawa tindakan itu yang mematuhi amalan pelupusan serta perundangan selain mendapat penyeliaan dan nasihat daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Beliau juga berkata, sepanjang tahun 2024 MBI menerima sebanyak 1,342 laporan kes berkenaan anjing terbiar dan setakat 20 Julai tahun ini, sebanyak 740 kes dilaporkan.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching berkata, pihak kerajaan akan menyelidik video yang tular tersebut dan sedia melihat aspek perundangan terhadap dakwaan yang tidak betul.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan sendiri telah mengadakan sesi libat urus dengan NGO haiwan bagi mencari penyelesaian terbaik berkenaan masalah haiwan terbiar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN