Masih belum ada ahli Parlimen sokong RCI -Rafizi   - Utusan Malaysia

Masih belum ada ahli Parlimen sokong RCI -Rafizi  

RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Belum ada dalam kalangan ahli Parlimen blok kerajaan atau pembangkang lain yang menyatakan sokongan terhadap penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu pelantikan hakim.  

Perkara itu disahkan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli semasa Forum Awam: Integriti Kehakiman yang berlangsung di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya, semalam.  

Sebelum ini, Mohd. Rafizi bersama lapan ahli Parlimen PKR lain mendesak kerajaan menubuhkan RCI berhubung isu pelantikan hakim.

“Kami sedar ada pelbagai versi yang berbeza dalam kalangan pembangkang. Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (Timbalan Presiden Pas) kata akan sokong kalau kami turun demonstrasi turun Anwar. 

“Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari kata belum terima apa-apa surat, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pula menolak kerana ia datang daripada kerajaan. Jadi saya tidak rasa akan ada sokongan daripada pembangkang. Daripada PH pula memang tiada langsung,” katanya. 

Minggu lalu, Rafizi juga menghantar surat rasmi kepada semua ahli Parlimen bagi mendapatkan sokongan terhadap cadangan penubuhan suruhanjaya itu.  

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pandan itu yakin dalam beberapa hari lagi, akan ada beberapa Ahli Parlimen kerajaan menyatakan pendirian mereka.

“Saya akan hubungi beberapa orang Ahli Parlimen. Saya rasa akan ada penambahan daripada kalangan backbenchers PKR dan mungkin parti lain juga,” katanya.

Bekas Menteri Ekonomi itu berkata, beliau bersama lapan ahli Parlimen lain tidak mengharapkan sokongan besar-besaran, sebaliknya hanya mahu rakyat memberi perhatian terhadap isu yang diketengahkan.

“Kami tidak harapkan ada yang akan sokong atau tidak sokong. Kami buat sebab kami rasa ini tanggungjawab kami. 

“Kalau akhirnya kekal sembilan orang pun, secara peribadi saya rasa kami telah capai objektif iaitu supaya rakyat beri perhatian,” katanya.

Tambah Rafizi, membawa isu itu ke Parlimen secara formal juga dilihat tidak lagi berkesan memandangkan tumpuan orang ramai terhadap perbahasan Dewan Rakyat semakin berkurangan.

“Jadi kami cuma mahu menyambung suara pihak-pihak yang sudah bersuara sebelum ini iaitu Majlis Peguam, masyarakat sivil. Kami cuma tambah suara,” katanya. 

Beliau berkata sebagai Ahli Parlimen senior, adalah wajar untuk kumpulan seperti mereka menyuarakan pendirian secara terbuka tanpa terlalu risau terhadap kesan politik.

“Bukan risau akan digantung atau dibuang. Saya gembira dengan apa yang kami lakukan. Biar ia kekal begitu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN