MARDI akan perkenal varieti durian baharu - Utusan Malaysia

MARDI akan perkenal varieti durian baharu

MOHAMAD Zabawi Abdul Ghani (dua dari kanan) menunjukkan buah durian dari pokok yang ditanam di Duriotourism MARDI Kuala Kangsar hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Beberapa varieti durian baharu dijangka diperkenalkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) kepada umum dalam tempoh dua tahun lagi.

Ketua Pengarah MARDI, Datuk Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, penilaian terhadap beberapa hibrid baharu itu sedang dijalankan ketika ini sebelum ia diperkenalkan ke pasaran.

“Kita sekarang dalam penilaian beberapa hibrid baharu tetapi kita belum dapat keyakinan untuk keluarkan kerana kita sedang lihat kesesuaian dengan tempat-tempat lain di negara ini.

“Yang ada sekarang tiga varieti (durian) di mana sebahagiannya ada di MARDI Jerangau (Terengganu) dan di sini (Kuala Kangsar).

“Kod bagi durian itu masih belum ada kerana selepas dilancarkan nanti barulah kita akan dapatkan kod yang sesuai untuk varieti tersebut,” katanya kepada pemberita pada lawatan ke Duriotourism MARDI Kuala Kangsar di sini hari ini.

Sementara itu, Mohamad Zabawi berkata, sebanyak 13,000 pokok durian hibrid MDUR 88 yang dijenamakan semula kepada MARDI Super (MS88) telah ditanam di seluruh negara.

Beliau berkata, penanaman varieti MS88 itu dipantau MARDI bagi memastikan keberhasilannya sebagai durian premium negara untuk pasaran komersil yang lebih luas.

“Insya-Allah, mungkin dalam lima atau enam tahun akan datang dengan penanaman 13,000 pokok durian MS88 ini, kita boleh wujudkan pusat pengumpulan sebelum durian jenis ini dieksport.

“Buat masa sekarang, varieti durian ini baru berusia dua ke tiga tahun. Insya-Allah dalam masa beberapa tahun akan datang, durian MS88 ada di pasaran secara meluas,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, MS88 yang diperkenalkan tahun lalu akan diberikan nama baharu bagi menarik peminat raja buah itu.

“Bagi MS88, kita hendak cuba juga mungkin satu hari kita akan tukar nama yang nampak komersial, sekarang ini macam-macam ada seperti Tupai King yang sebenarnya itu varieti-varieti lama.

“Begitu juga Musang King, ia daripada D197 tetapi ia namakan semula untuk menarik perhatian orang. Jadi kita cuba cari nama yang agak ‘catchy’ untuk MS88 ni,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN