Mangsa skim pelaburan 'ala-hutang' cecah RM47 juta mahu pihak terbabit didakwa segera

Mangsa skim pelaburan ‘ala-hutang’ cecah RM47 juta mahu pihak terbabit didakwa segera

Hishamuddin Hashim ketika sidang media MHO berkaitan mangsa pelaburan 'Ala Hutang' di perkarangan Jabatan Peguam Negara, Putrajaya, - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 87 mangsa skim pelaburan ‘ala-hutang’ mendesak Jabatan Peguam Negara (AGC) supaya meneruskan pendakwaan terhadap pihak yang disyaki terlibat dalam penipuan pelaburan tersebut.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim yang mewakili mangsa berkata, setakat ini, mangsa berdepan kerugian keseluruhan mencecah lebih RM47 juta selepas menyertai skim itu.

Beliau berkata, walaupun laporan polis telah dibuat terhadap syarikat dan individu yang terlibat, namun sehingga kini tiada sebarang tindakan konkrit diambil termasuk pendakwaan di mahkamah.

“Difahamkan, beberapa kes yang telah dikemukakan ke mahkamah diklasifikasikan sebagai melepas tanpa membebaskan (DNAA) kerana pengadu menarik balik laporan.

“Ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan mangsa apabila mereka melihat tiada jalan penyelesaian yang diberikan,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di hadapan Pejabat AGC di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyertai kira-kira 50 mangsa kes itu dari utara tanah air menyerahkan surat rayuan kepada wakil Pejabat Komunikasi Korporat AGC, Abd Aziz Mohd Salleh, di sini, hari ini.

Katanya, terdapat juga kes laporan polis mangsa yang dirujuk kepada laporan lain melalui kod refer other report (ROR), sekali gus menyukarkan proses pendakwaan terhadap pihak terbabit.

Susulan itu, Hishamuddin berkata, MHO dan mangsa-mangsa terlibat sepakat mengadakan sidang media bagi menyatakan hasrat mereka agar AGC meneliti semula kesemua laporan berkaitan.

“Malah, kami mahu AGC mempertimbangkan untuk meneruskan pendakwaan terhadap individu yang didakwa menjadi dalang skim pelaburan tersebut.

“Ramai mangsa percaya mereka ditipu dan diperdaya menyertai skim pelaburan ‘ala hutang’ yang tidak wujud. Mereka hanya mahukan keadilan selepas sekian lama menunggu tanpa sebarang penyelesaian,” katanya.

Menurutnya, MHO sudah membuat semakan di Bank Negara Malaysia (BNM) serta Suruhanjaya Sekuriti dan mendapati skim ditawarkan tidak berdaftar dan dijalankan secara tidak sah.

Justeru syarikat berkenaan perlu disiasat mengikut Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758).

Jelasnya lagi, MHO turut menyeru kerjasama semua pihak berkuasa berkaitan agar melihat isu ini sebagai satu keperluan mendesak bagi melindungi hak mangsa dan menegakkan keadilan.

Difahamkan sindiket berkenaan menawarkan skim pelaburan hutang di mana peserta perlu menandatangani perjanjian pinjaman dengan menawarkan keuntungan bulanan mencecah 10 peratus sebulan.

Keuntungan dijana melalui perniagaan seperti restoran, hotel, gimnasium dan lain-lain perniagaan yang mempunyai daya saing tinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN