KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menganjurkan tiga program utama ASEAN bertemakan pembangunan bandar mampan sempena Kepengerusian ASEAN 2025 yang dijadual berlangsung dari 10 hingga 15 Ogos ini.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, tiga program tersebut ialah Forum Pembangunan Bandar Mampan ASEAN (ASUF), Forum Gabenor dan Datuk Bandar ASEAN (AGMF) serta Mesyuarat Gabenor dan Datuk Bandar Ibu Kota ASEAN (MGMAC).
“Program ini akan menjadi platform strategik dalam memperkukuh hubungan diplomatik antara bandar-bandar ASEAN, memperkasa inovasi dasar serta memperteguh kedudukan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam agenda pembandaran mampan.
“Dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dan Presiden Perhimpunan UN-Habitat, negara kita bersedia menggalas tanggungjawab besar di peringkat serantau dan antarabangsa untuk memacu pembangunan bandar yang mampan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pra Pelancaran ASUF, AGMF dan MGMAC di sini hari ini.
Tambah beliau, pengiktirafan tersebut bukan sekadar satu penghormatan, malah mencerminkan keyakinan antarabangsa terhadap nilai dan wawasan Malaysia dalam membentuk bandar yang inklusif, berfokuskan rakyat dan berdaya tahan.
Katanya, program ini memberi penekanan kepada dua aspek utama dalam pembangunan bandar masa depan iaitu memupuk keterangkuman sosial dan menjamin kelestarian persekitaran.
“Ia selari dengan Visi Komuniti ASEAN 2025, Komuniti Sosio-Budaya ASEAN serta Strategi Pembandaran Mampan ASEAN, dengan menekankan pendekatan menyeluruh yang menggalakkan penyertaan masyarakat, interaksi komuniti dan keharmonian dengan alam sekitar,” katanya.
Kata beliau, penganjuran ini diselaraskan oleh URBANICE Malaysia, pusat kecemerlangan di bawah KPKT dengan kerjasama strategik daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Sekretariat ASEAN, UCLG ASPAC dan UN-Habitat selaku rakan pelaksana serantau dan antarabangsa.
“Inilah masa terbaik untuk Malaysia menonjolkan kepimpinan dalam transformasi bandar serantau.
“Kuala Lumpur 2025 akan menjadi detik penting dalam membentuk masa depan bandar yang inklusif, inovatif dan mampan untuk ASEAN,” katanya.-UTUSAN










