Malaysia hargai ketegasan Macron desak Israel hentikan keganasan di Gaza

Malaysia hargai ketegasan Macron desak Israel hentikan keganasan di Gaza

EMMANUEL Macron dan Anwar pada sidang akhbar kedua-dua pemimpin itu di Istana Elysee, Paris, Perancis, semalam.-UTUSAN/FACEBOOK ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia menghargai pendirian tegas Presiden Perancis,  Emmanuel Macron supaya rejim Israel menghentikan keganasan di Gaza.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia selari dengan konsisten Malaysia yang menolak keganasan terhadap orang awam dan segala bentuk pilih kasih.

Beliau berkata, perkara itu dibincangkannya bersama Macron dalam pertemuan kedua-dua pemimpin di Istana Elysee, Paris, Perancis, semalam.

“Saya menyatakan sokongan terhadap usaha Presiden Macron dalam memperjuangkan keamanan dan kestabilan dunia. 

“Saya juga menghargai ketegasan Presiden Macron  yang mendesak agar rejim Israel menghentikan keganasan di Gaza dan membenarkan bantuan kemanusiaan disalurkan segera. 

“Malaysia kekal konsisten menolak keganasan terhadap orang awam dan segala bentuk pilih kasih,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Sementara itu, pada sidang akhbar di Istana Elysee, kedua-dua pemimpin juga bersetuju bahawa gencatan senjata kekal harus dilaksanakan di Gaza serta pembebasan tebusan juga perlu dilakukan.

Macron berkata, penyelesaian dua negara adalah kaedah terbaik untuk menyelesaikan isu Palestin-Israel.

“Kami sedang bekerjasama dengan beberapa pihak tentang perkara ini, antaranya Arab Saudi. Buat masa ini, Israel perlu membenarkan bantuan sampai ke Gaza,” katanya.

Anwar dalam pada itu, berkata,  perbincangannya bersama Macron itu  berlangsung dalam suasana amat terbuka dan jujur, mencerminkan tradisi keterbukaan, toleransi dan kebijaksanaan yang menjadi tunjang demokrasi Perancis.

“Saya mengangkat semangat ini sebagai asas penting dalam memperkukuh hubungan dua hala serta mendepani pelbagai cabaran global dengan berani dan berprinsip.

“Kerjasama strategik Malaysia dan Perancis terus berkembang merentas sektor berimpak tinggi, daripada teknologi aeroangkasa menerusi Airbus, tenaga bersih bersama Petronas dan syarikat Perancis, hinggalah pendidikan tinggi, kecerdasan buatan, serta pertukaran pelajar,” kata beliau.

Perdana Menteri menambah, beliau dan Macron juga sependapat, dalam dunia yang sarat dengan ketidaktentuan, kerjasama tulen mestilah berlandaskan rasa saling menghormati, kepercayaan dan kejelasan moral.

“Ia untuk melihat satu sama lain bukan sebagai alat kepentingan, tetapi sebagai rakan setara dalam membentuk suatu tertib dunia yang lebih adil.

“Malaysia akan terus menjadi rakan yang konstruktif dan komited dalam memperkukuh multilateralisme serta usaha ke arah penyelesaian yang adil dan berkekalan bagi dunia yang lebih aman,” katanya.

Sementara itu, Macron dalam perkongsian di media sosialnya menyifatkan kehadiran dua hari Anwar ke Perancis sebagai lawatan bersejarah yang mencerminkan hasrat untuk menghidupkan semula hubungan kedua-dua negara melalui kerjasama baharu.

“Kedua-dua negara komited kepada multilateralisme yang berkesan dan perdagangan berasaskan peraturan.

“Alam sekitar, peralihan tenaga, pengangkutan, perdagangan, pertahanan, angkasa lepas serta isu-isu antarabangsa dan serantau semua ini merupakan bidang di mana kita berhasrat untuk memperdalam kerjasama kita.

“Ini juga merupakan detik penting bagi hubungan kami dengan ASEAN, yang kini dipengerusikan oleh anda dan yang ingin kami lihat lebih kukuh,” kata beliau.

Anwar akan ke Brazil untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS sehingga  7 Julai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN